KUALA LUMPUR – Nampaknya bisnes minyak wangi terus menjadi pilihan artis dalam menambah punca rezeki mereka pada hari ini.

Sebelum ini, beberapa artis popular turut tampil bersama wangian mereka sendiri termasuk Rozita Che Wan, Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Rita Rudaini, Sheila Rusly, Awal Ashaari dan Bunkface.

Tidak mahu ketinggalan penyanyi baharu, Khai Bahar, 23, apabila dia akan memperkenalkan minyak wangi jenamanya sendiri bulan depan.

Produk edisi terhad yang menggunakan nama Khai Bahar Bayang, sempena lagu popular dendangannya itu bakal dilancarkan pada 3 Mei ini.

Khai yang merupakan kelahiran Kangar, Perlis berkata, dia memilih bisnes itu kerana pasaran minyak wangi melibatkan ramai pengguna.

“Semua orang suka pakai minyak wangi hari-hari ini dan mahu berasa harum bila keluar rumah.

“Jadi permintaan produk itu sentiasa tinggi dan kuasa membeli minyak wangi dalam kalangan masyarakat sentiasa ada.

“Saya bukannya terikut-ikut dengan artis lain namun sekadar memberi pilihan kepada pengguna.

“Inilah juga ruang pertama untuk saya menceburi dunia perniagaan, dengan menjual minyak wangi. Harapnya, percubaan ini akan memberikan pulangan besar dan maklum balas positif daripada orang ramai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khai memberitahu, dia akan merakamkan dua lagu raya tidak lama lagi.

Jelasnya, sebuah daripada lagu berkenaan ialah Halaman Asmara, yang pernah dipopularkan oleh Ziana Zain dan Awie apabila akan berduet dengan Fatin Husna, iaitu artis baharu daripada NAR Records.

“Sebuah lagi lagu akan dinyanyikan secara solo ciptaan sepenuhnya Fedtri Yahya yangrentak lagu 90-an,” katanya yang mula meraih perhatian apabila nyanyiannya bersama Siti Nordiana menerusi aplikasi Smule menjadi viral. – MalaysiaGazette