Kongsi
S. Gobi Krishnan

SEPANG – Parti Generasi Baru (NewGen Party) hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Setiausaha Agungnya S. Gobi Krishnan kerana disyaki melakukan pecah amanah.

Pemangku Setiausaha Agung parti itu Mohamad Zaini Jaafar berkata berdasarkan siasatan dalaman parti itu, Gobi Krishnan dipercayai menggelapkan yuran keanggotaan parti dan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk kegunaan parti berjumlah RM105,000.

“Bukti penerimaan wang sebanyak RM45,000 yang dimasukkan terus atas nama syarikat Gobi Krishnan juga ada dalam rekod telefon bimbit saya manakala selebihnya ada dalam penyata bank.

“Kami juga mendapati akaun parti tidak aktif sejak 2013 dengan baki terkini adalah kosong,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini, hari ini.

Gobi Krishnan dilaporkan telah digantung keanggotaan dan jawatannya oleh kepimpinan Parti Generasi Baru yang diketuai Presidennya Datuk G. Kumar Aamaan pada bulan lepas kerana didapati melanggar perlembagaan parti dan melantik jawatankuasa baharu tanpa memberi notis panggilan mesyuarat kepada Presiden.

Isu melibatkan Parti Generasi Baru mendapat perhatian baru-baru ini susulan dakwaan kepimpinan asalnya bahawa parti itu disalahgunakan Datuk Mohd Ezam Mohd Nor dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dengan menukar nama parti itu kepada Parti Bebas Rasuah (PBR), seperti yang diumumkan awal bulan ini.

Presiden asal Parti Generasi Baru mendakwa Ezam dan Khairuddin yang masing-masing merupakan presiden dan timbalan presiden PBR, didapati melakukan tindakan itu tanpa pengetahuan dan persetujuannya serta kira-kira 300 ahli parti itu kerana tiada sebarang notis atau mesyuarat diadakan.

Parti Generasi Baru, yang diasaskan Gobi Krishnan iaitu bekas setiausaha Biro Strategi dan Polisi Kebangsaan PKR, didaftar pada September 2013 dengan menyasarkan golongan muda sebagai anggota parti.

Pada Rabu lepas, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang menyiasat permohonan pertukaran nama parti itu berkata beberapa dokumen menimbulkan keraguan termasuk alamat ibu pejabat parti, yang didakwa lokasi berlangsungnya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk menukar nama dan pemilihan kepimpinan parti, adalah milik sebuah kedai jubin. – MalaysiaGazette

 

Tinggalkan Jawapan