ADAM ROSLY

KUALA LUMPUR – Pemimpin muda PKR, Adam Rosly Abdullah tidak berpuas hati dengan tindakan Rafizi Ramli yang membuat tuduhan seolah-olah beliau sudah bersalah sebelum dibuktikan dan mendakwa Naib Presiden PKR itu berniat jahat dengan menyerangnya.

Terdahulu, Rafizi menyuruh Adam Rosly bercuti dan mahu parti menjarakkan diri daripada kes pendakwaan yang sedang dihadapi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang itu kerana memberi keterangan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya ingin menambah satu lagi perkara, saya amat kecewa dengan kenyataan Rafizi Ramli dalam sidang medianya mengatakan saya bersalah terhadap pendakwaan yang dibuat ke atas saya.

“Beliau tidak menghormati ke atas prinsip seseorang itu belum bersalah selagi belum dibuktikan dan komennya adalah tidak wajar sama sekali kerana kes terhadap saya masih berjalan di mahkamah,” kata Adam Rosly dalam satu kenyataan hari ini.

Adam Rosly mendakwa Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mempunyai niat jahat terhadap serangan yang dilakukan kepada dirinya.

“Serangan beliau ke atas saya berniat jahat dan mempunyai agenda tertentu,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Adam Rosly berkata, beliau akur akan melepaskan jawatannya sementara menunggu perbicaraan kesnya selesai dan berjanji untuk menjalankan tugas selaku Ketua AMKĀ Ampang sebaik berakhir perbicaraan.

“Sementara menunggu keputusan akhir prosiding mahkamah adalah wajar saya mengambil cuti dari kedudukan saya sebagai Ketua AMK Ampang dalam PKR.

“Saya sudah menghantar surat memaklumkan kepada Presiden dan ketua cabang memaklumkan pendirian saya berhubung perkara ini,” kata beliau.

Adam Rosly, 29, berdepan enam tuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 21 April lalu.

Beliau didakwa memberi keterangan berkenaan untuk memperdaya pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang menyiasat sumber kekayaannya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.