IPOH – Kehadiran pelabur asing di Perak membuktikan negeri itu memiliki kekuatan tarikan dari segi pelaburan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, kedatangan pelabur asing ke Perak telah menyumbangkan kepada jumlah eksport yang tinggi selain menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan

“Kehadiran syarikat pembuatan kren pelabuhan dari Sweden, Bromma (Malaysia) Sdn Bhd (Bromma) di negeri ini yang menerajui 60 peratus pegangan pasaran global, telah menunjukkan negeri ini maju dalam aspek pelaburan.

“Begitu juga dengan pelabur asing lain seperti Finisar Malaysia (M) Sdn Bhd dan Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang mewakili Menteri Besar di sini Jumaat malam.

Mustapa berkata, pembinaan taman tema animasi pertama Asia, Movie Animation Theme Park (MAPS), di bandar Meru Raya, juga dijangka dapat meningkatkan ekonomi negeri.

“Mereka telah melabur sebanyak RM500 juta dan kebanyakan pekerjanya terdiri daripada anak-anak Perak yang kesemuanya boleh berbahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian Perak mampu membawa negara untuk terus maju dan menjadi antara 20 negara terbaik di dunia.

“Ia juga selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.

Selain itu, Mustapa berkata Perak juga dipilih sebagai negeri pertama bagi penganjuran Hari Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) yang akan diadakan esok di Casuarina@Meru.

“Ini kali pertama Hari MITI diadakan di luar Kuala Lumpur dan telah memilih Perak untuk penganjuran kali kedua Hari MITI.

“Ia bertujuan untuk menghebahkan peranan MITI kepada orang ramai selain memperkenalkan agensi-agensi di bawah MITI,” katanya.

Pada majlis tersebut, Mustapa turut menyampaikan anugerah ”Juara Produktivi” kepada 10 individu daripada MPC yang menunjukkan komitmen dalam membantu meningkatkan produktiviti negara dan industri.

Antara penerima anugerah itu ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Datuk Abdul Rahim Md Ariff. – Bernama