Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman serentak tanda pendamaian dengan Pengarah, Datuk David Teo (kanan), Pelakon, Mat Over (dua kiri) dan Pengarah, Datuk Rosyam Nor (kiri) selepas membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) di Dewan Agong Tuanku Cancelor UiTM Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 23 MEI 2017

SHAH ALAM – Sebagai bukti insiden tampar antara Mat Over dengan David Teo benar-benar selesai malam ini kedua-dua mereka duduk bersebelahan dalam Majlis Pelancaran Laporan Transformasi Negara 2016 di UiTM Shah Alam.

Malah moderator semasa kejadian pada Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Bersama Perdana Menteri – Segmen Penggiat Seni di Seri Perdana Putrajaya, Datuk Rosyam Nor turut duduk berhampiran.

Mereka sempat menunjukkan tanda bagus dan bersalaman apabila gambar mereka dirakam jurugambar yang bertugas pada majlis yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.

Kehadiran turut mendapat perhatian Perdana Menteri yang ketika itu baru memulakan ucapannya.

Najib spontan menyebut nama Mat Over dan David yang kemudiaannya bangun berdiri dan melambai tangan kepada tetamu yang hadir dan memberi tepukan gemuruh.

Perdana Menteri ketika itu dalam ucapannya menasihati seluruh rakyat tidak kira agama dan kaum agar jangan bergaduh, berbaik-baik, tolong-menolong antara satu sama lain agar negara aman dan makmur.

Baru-baru ini, kecoh apabila pelakon, Mat Over melempang penerbit, David Teo di hadapan Perdana Menteri.

Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba apabila Mat Over meluru dari tempat duduk dan berjalan ke arah David dengan memberi amaran jangan bersikap kurang ajar di depan perdana menteri.

Sebelum itu, David mempertikai gaya moderator, Rosyam yang dikatakan tidak adil kerana hanya memberi peluang kepada peserta di bahagian tertentu sahaja untuk bertanyakan soalan.- MalaysiaGazette