Johari Abdul Ghani

PUTRAJAYA – Kerajaan akan membayar semula RM1.1 bilion iaitu sebahagian dana yang telah dilaburkan oleh Proton Holdings Bhd. (Proton) untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sepanjang penubuhannya.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Ghani berkata, pembayaran semula itu dikira sebagai geran R&D kepada syarikat kereta nasional berkenaan.

Ketika ditanya mengapa, kerajaan tidak membayar keseluruhan kos R&D iaitu sebanyak RM3.5 bilion kepada Proton, Johari berkata, ia adalah keputusan mutlak kerajaan untuk menentukan jumlahnya.

Kerajaan juga menurut Johari sudah tidak memiliki sebarang golden share di dalam Proton selepas pemeteraian perjanjian rakan kongsi asing strategik dengan Geely.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Proton dan Geely perlu membayar RM1.5 bilion saham keutamaan (RCCPS) kepada kerajaan yang dilanggan oleh Kementerian Kewangan pada tahun lalu kerana mahu membantu syarikat kereta nasional berkenaan yang sedang dalam kemelut kewangan.

“Mengikut perjanjiannya, Proton dan rakan kongsinya perlu membayar balik RCCPS yang bernilai RM1.5 bilion dengan kadar kupon sebanyak empat peratus selepas perjanjian di antara kedua-duanya dimuktamadkan.

“Yang ini (RCCPS) kerajaan tidak pernah hapuskan,” katanya selepas menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian penjualan 49.9 peratus kepentingan Proton kepada Zhejiang Geely Holdings Co. Ltd. di sini hari ini.

Kedua-dua syarikat dijangka memeterai Perjanjian Muktamad pada Julai 2017.- MalaysiaGazette