99 Speedmart merupakan hasil titik peluh pengasasnya, Lee Thiam Wah dan beliau tidak bercadang untuk menjual atau menyenarainya dalam pasaran saham.

PETALING JAYA – Kerajaan bercadang mengambil alih lebih 1,000 buah Pasar Serbaneka 99 Speedmart di seluruh negara untuk menggantikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)?

Bukat terhenti setakat itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga dikatakan memberi tekanan dan pujukan kepada pengasas Kumpulan 99 Speedmart, Lee Thiam Wah supaya menjualkan asetnya.

Rosmah juga didakwa menggunakan pengaruh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan unuk memaksa Thiam Wah menjual semua cawangan 99 Speedmart.

Berita gempar yang tersebar itu merupakan antara berita palsu yang semua kandungannya direka semata-mata untuk menipu.

Thiam Wah yang dihubungi Sinchew Daily menafikan sebaran berita media sosial itu dan menegaskan bahawa beliau tidak bercadang untuk menjual 99 Speedmart.

Tokoh korporat itu juga memberitahu tidak pernah berjumpa dengan Rosmah, apatah lagi disuruh oleh isteri Perdana Menteri tersebut untuk menjual 99 Speedmart.

“Tiada agensi kerajaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan yang menghubungi atau memberi tekanan kepada saya,” katanya.

Thiam Wah mengakui bahawa khabar angin mengenai penjualan 99 Speedmart telah wujud sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak menyangka ia tiba-tiba bertiup kencang semula kebelakangan ini.

“Oleh itu, saya ingin menjelaskan bahawa semua ini hanyalah khabar angin,” katanya.

Tambah Thiam Wah, 99 Speedmart merupakan hasil titik peluhnya dan beliau tidak bercadang untuk menjual atau menyenarainya dalam pasaran saham.

“Sebelum ini memang ada entiti luar negara yang berminat mengambil alih 99 Speedmart, tetapi kami tidak memberi balasan kepada mereka pun.

“Ini kerana kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menjual 99 Speedmart.” – MalaysiaGazette