DUBAI – Qatar berkata ia sedang menghadapi kempen penipuan dan pemalsuan yang bertujuan meletakkan negara itu dibawah pengawalan selepas Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan dengannya.

“Kempen hasutan ini berdasarkan kepada pembohongan yang telah sampai ke tahap pemalsuan sepenuhnya,” kata Kementerian Luar Qatar.

Ia menambah, sebagai anggota Majlis Kerjasama Teluk, Qatar komited terhadap piagamnya dan menghormati kedaulatan negara lain dan tidak mencampuri urusan mereka.

Terdahulu Arab Saudi, UAE dan Bahrain mengumumkan pemutusan hubungan pengangkutan dengan Qatar dan memberi tempoh selama dua minggu kepada pelawat dan residen Qatar untuk meninggalkan negara itu.

Penyelarasan langkah drastik oleh tiga negara Teluk dan Mesir meningkatkan lagi pertikaian sokongan Qatar kepada pergerakan Islam tertua, Ikhwanul Muslimun dan menambahkan lagi dakwaan negara itu menyokong agenda Iran.

Arab Saudi mendakwa Qatar menyokong kumpulan-kumpulan militan dan menyebarkan ideologi keganasan, yang dilihat merujuk kepada rangkaian satelit Al-Jazeera. Qatar menafikan ia menyokong keganasan atau Iran pada masa lalu.

“(Qatar) menyokong pelbagai kumpulan keganasan dan mazhab yang mensasar mengacau kestabilan di rantau ini termasuk Ikhwanul Muslimun, ISIS dan Al-Qaeda dan mempromosi mesej dan skim kumpulan-kumpulan ini menerusi media mereka secara konsisten,” kata agensi berita, SPA.

Kenyataan itu terus mendakwa Qatar menyokong apa yang disifatkannya sebagai militan yang disokong Iran yang berpangkalan di Qatif, timur Arab Saudi dan Bahrain.

Agensi berita Mesir yang merupakan negara Arab paling ramai penduduk berkata, dasar Qatar ‘mengancam keselamatan negara-negara Arab dan menyemai benih pertelingkahan selain memecah belahkan masyarakat Arab melalui perancangan yang diatur yang disasarkan kepada penyatuan dan kepentingan negara-negara Arab.