Sekumpulan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hadir ke Menara Felda bagi mendapatkan dokumen berkaitan kemelut yang melanda Felda Global Ventures Holding Bhd.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Felda Global Ventures Bhd. (FGV), Tan Sri Isa Samad yakin saham syarikat itu akan melonjak naik setelah siasatan terhadap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daruk Zakaria Arshad selesai.

“Biasalah, mana-mana syarikat pun kalau ada (kemelut) macam ni, akan turun. Selesai nanti, selesai (naik) la semula,” katanya.

Walau bagaimanapun, untuk rekod, saham FGV dilihat mengalami penurunan secara konsisten sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012.

Saham syarikat itu jatuh sehingga RM1.50 hari ini berbanding RM1.66 ketika sesi dagangan Bursa Malaysia ditutup semalam.

Saham FGV di senaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 pada harga tawaran awam permulaan RM4.55.

Ia merupakan penyenaraian terbesar di Asia pada tahun itu dan kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

Ironinya, Isa dalam sidang media hari ini menafikan wujud kemelut dalam syarikat tersebut, meskipun lebih kurang 30 orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke Menara Felda awal pagi hari ini bagi proses siasatan berhubung siasatan salah laku terhadap Datuk Zakaria.

“Tidak ada kemelut. Proses biasa saja, anda (media) yang jadikan kemelut,” katanya kepada pemberita.

Siasatan SPRM terhadap Zakaria dibuat sejurus arahan untuk bercuti tanpa tempoh oleh Isa, dipercayai berkaitan dengan anak syarikat FGV. – MalaysiaGazette