KUALA LUMPUR – Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) mengumumkan telah menghantar permohonan kepada Bank Negara bagi mendapatkan kelulusan bagi cadangan penggabungannya dengan Asian Finance Bank Bhd. (AFB).

Dalam kenyataan ke Bursa Malaysia, peminjam bukan bank itu berkata, ia telah menghantar satu permohonan dalam tempoh yang telah disyaratkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Bank Negara dan/ atau Kementerian Kewangan bagi tujuan penggabungan.

“Pengumuman lanjut akan dibuat selepas kami menerima keputusan daripada Bank Negara,” katanya.

Pada 21 Disember lalu, MBSB mengumumkan persetujuan Bank Negara untuk membenarkan rundingan di antaranya dengan pemegang-pemegang saham AFB dari Asia Barat.

Bank Negara membenarkan kedua-dua pihak berunding selama enam bulan sehingga 21 Jun ini bagi memuktamadkan rundingan.

MBSB yang dimiliki 65.4 peratus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merancang untuk bertukar kepada sebuah bank Islam bagi meningkatkan daya saing.

Sementara itu, AFB pula dimiliki oleh Qatar Islamic Bank (66.67 peratus), RUSB Investment Bank Inc (16.67 peratus, Tadhamon International Islamic Bank (10 peratus) dan Financial Assets Bahrain WLL (6.67 peratus). – MalaysiaGazette