Tan Sri Md Raus Sharif

PUTRAJAYA – Perbicaraan kes pertama kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak (MJSTK) dijangka bermula pada 4 Julai depan.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md. Raus Sharif berkata, sebagai permulaan sebanyak 56 kes sedia ada dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Shah Alam dan Petaling Jaya Selangor akan dibawa ke mahkamah khas berkenaan.

“Seorang hakim mahkamah sesyen yang berpengalaman berpangkat gred JUSA C telah dilantik bagi membicarakan kes-kes di mahkamah khas ini.

“Mereka ini merupakan bekas hakim mahkamah sesyen yang dilatih untuk mengendalikan kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak sebelum ini,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Beliau juga berkata, dengan wujudnya mahkamah khas ini, perbicaraan kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat sehingga satu tahun.

“Amatlah penting kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat didengar dengan segera dan tidak dijalankan secara tertangguh-tangguh.

“Sehingga kini, 90 hingga 95 peratus kes di semua mahkamah khas seperti ini dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan iaitu tidak melebihi satu tahun,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk keselesaan kanak-kanak.

Antaranya sistem Court Recording and Transcription (CRT) membolehkan pengguna mengakses rakaman video dan visual prosiding mahkamah; bilik khas yang menempatkan Vulnerable Witness yang dilengkapi kemudahan video-link yang membolehkan keterangan saksi diberikan dari bilik khas dan dapat diakses oleh hakim, pendakwaraya dan peguam serta bilik menunggu saksi kanak-kanak atau Bilik Permata.

“Semua kemudahan itu bagi memastikan kanak-kanak yang malang itu selesa dan diberi perlindungan sewajanya semasa menghadiri perbicaraan kes,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.