Walaupun telah dilantik sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB) yang baharu, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz tetap akan memikul tanggung jawab sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang digalasnya sejak 50 hari yang lalu.
Walaupun telah dilantik sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB) yang baharu, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz tetap akan memikul tanggung jawab sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang digalasnya sejak 50 hari yang lalu.

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Aktar Aziz mengesahkan beliau telah disiasat berhubung kerugian dalam dagangan mata wang semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

“Ya, saya telah dipanggil, mereka bertanya kepada saya beberapa soalan, saya menjawab berdasarkan pengetahuan saya … itu sesuatu yang terjadi 25-30 tahun yang lalu, Bank Negara telah meletakkan langkah-langkah yang perlu untuk memastikan ia tidak akan berlaku lagi. Menunjukkan standard pengurusan risiko yang tertinggi, “kata Zeti dalam wawancara baru-baru ini dengan Channel News Asia.

Beliau mengambil alih sebagai gabenor bank pusat pada tahun 2000.

Zeti berkata demikian sejurus selepas Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk meneliti skandal urus niaga mata wang asing forex yang melibatkan berjuta-juta dolar pada 1990-an.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Petugas-Petugas Khas yang membuat siasatan kes itu mendapati kerugian akibat urus niaga itu lebih besar.

Beberapa individu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah dipanggil untuk siasatan.

Siasatan itu dibuat selepas bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid mendakwa Bank Negara Malaysia kerugian kira-kira AS$10 bilion akibat daripada kerugian dalam urus niaga mata wang asing semasa era Mahathir.

Abdul Murad mendakwa tiada siapa yang pernah disiasat atau dikenakan secara rasmi.

Bercakap kepada Channel NewsAsia awal minggu ini, Dr Mahathir menafikan terlibat dalam skandal tersebut.

“Terdapat perdagangan mata wang melibatkan Bank Negara, bukan saya. Siasatan penuh telah dibuat dan laporannya telah didedahkan serta Parlimen sudah pun membahaskan. Tiada ada asas yang mendapati saya bersalah.

Zeti menambah beliau telah meninggalkan Bank Pusat kepada penggantinya, Datuk Seri Muhammad ​​Ibrahim, dengan integriti utuh, terutamanya selepas kontroversi mengenai dana pelaburan negeri 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Bank pusat … telah melakukannya dengan baik. Peranan kami adalah untuk menegakkan integriti dan kekukuhan sistem kewangan yang menjadi kepentingan terbaik rakyat,” katanya.

“Bank pusat telah mengambil tindakan sejauh mana yang boleh, apa yang berlaku di luar sistem kewangan yang melibatkan penipuan, rasuah, adalah di luar kawalan Bank Pusat. Penalti yang dikenakan adalah tertinggi dalam sejarah Bank Negara pada entiti berkenaan, itulah tindakan yang dapat kita buat supaya memastikan integriti sistem kewangan ditegakkan, saya percaya kami telah melakukan sebanyak mungkin untuk memastikannya,” katanya. – MalaysiaGazette