Dr Amini Amir Abdullah
Dr Amini Amir Abdullah

KUALA LUMPUR – Masih ada pensyarah di institut pengajian tinggi (IPT) masih tidak faham dengan Perlembagaan Persekutuan terutama kalau sesuatu perkara itu berkaitan dengan Islam.

Walaupun jelas dalam perlembagaan itu membenarkan setiap orang menganut dan mengamalkan agama masing-masing, tetapi terdapat larangan mengenai penyebaran agama selain Islam kepada kalangan orang Islam.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Amini Amir Abdullah berkata, pensyarah yang juga felo utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Helen Ting tidak sepatutnya mempersoal dan mempertikaikannya.

Ini kerana katanya, di negara ini, sebarang agenda evangelisme, aktiviti pendakyahan agama Kristian dan penyebaran agama lain, selain Islam kepada orang Islam adalah pencabulan serta pemerkosaan terhadap kesucian agama itu dan Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan, ujar beliau, pendakyahan itu menjadi satu kesalahan mengikut Undang-Undang Malaysia.

“Sayugia diingatkan, di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan membenarkan setiap orang untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing dan terdapat larangan mengenai penyebaran agama selain Islam kepada kalangan orang Islam.

“Kenapa orang cerdik pandai seperti Helen masih tidak faham hal ini? Apakah dia cuba mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan selepas 60 tahun kita merdeka?

“Orang seperti inilah perlu dikursuskan dengan kursus Kenegaraan Malaysia dan sejarah Perlembagaan Negara,” tegasnya di sini semalam.

Beliau berkata demikian merujuk laporan terkini dalam sebuah portal berita dalam talian bertajuk, “Jika Islam Boleh, Kenapa Kristian Tidak Boleh? – Pensyarah Universiti” bertarikh 12 Julai 2017.

Helen dilaporkan mengutarakan persoalan itu pada sesi soal jawab forum “Deceitful? Distracting? Or Dedicated? Evangelicals and Current Controversies in Malaysia” anjuran Kairos Dialogue Network.

Beliau antara lain melontarkan soalan, jika orang Islam boleh berdakwah kepada orang Kristian, kenapakah orang Kristian tidak boleh berbuat perkara yang sama?

Mengulas lanjut, Dr. Amini Amir berkata, Perlembagaan Persekutuan membenarkan perkara berkaitan kebebasan beragama seperti rakyat Malaysia boleh menganut dan mengamalkan agama masing-masing (Artikel II (1), Perlembagaan Persekutuan).

Tetapi, kata beliau, Perlembagaan melarang penyebaran dan pendakyahan agama selain Islam kepada orang Islam (Artikel II (4), Perlembagaan Persekutuan).

“Kerajaan telah menyelesaikan banyak masalah berkaitan isu kebebasan beragama di Malaysia seperti pembinaan gereja, tokong, kuil, gudwara, biara, tanah perkuburan dan hak-hak bukan Islam di Malaysia.

“Ini membuktikan hak-hak bukan Islam dan bukan Melayu mendapat perhatian kerajaan dan hak mereka juga terbela,” katanya. – MalaysiaGazette