KUALA LUMPUR – Parti Sosialis MAlaysia (PSM) kesal dengan pengamal media tempatan yang lebih cenderung untuk membuat laporan berkenaan PRU ke-14 dan isu bersabit Tun Dr. Mahathir berbanding penahanan 28 peneroka warga emas di Bahau.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan berkata di laman Facebook miliknya, meskipun beliau sedang mengangkat isu penahanan peneroka Gatco namun, beberapa orang pengamal media menghubunginya untuk mendapatkan pandangan berkenaan politik.

“Saya ke Bahau untuk hadir reman 27 Peneroka Gatco yang lanjut usia untuk kesalahan kecil tetapi polis minta mereka ditahan empat hari dan majistret tanpa sebarang rasa simpati beri tiga hari reman.

“Esok kita akan buat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Seremban. Yang lebih sedih adalah tiga akhbar panggil saya tetapi semua tanya pasal PRU dan Tun M……adakah isu 27 peneroka ditahan ini kurang penting?”

Selasa lepas, seramai 27 penduduk Kampung Gatco, Bahau, Negeri Sembilan termasuk 10 wanita ditahan polis kerana cuba menghalang lori dipercayai milik Thamrai Holdings Sdn. Bhd. daripada mengangkut kayu getah dari kampung tersebut.

Ketegangan berlaku apabila lebih 60 anggota polis ditempatkan di lokasi tersebut bagi memberi laluan kepada pihak Thamrai Holdings.

Menurut Koordinator Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) R Vijay Gandi, penduduk kampung mempertahankan kawasan simpanan tersebut berikutan prosiding mahkamah yang dijadualkan pada 25 Julai ini. – MalaysiaGazette