Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Datuk Firdaus Abdullah

PUTRAJAYA – Gabungan gagasan Raja Berperlembagaan (RB) dan Demokrasi Berparlimen (DB) telah mencapai kejayaan, sekali gus menghasilkan kemajuan dalam pelbagai bidang untuk negara lebih setengah abad.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Datuk Firdaus Abdullah berkata, maksud tersirat gabungan gagasan itu adalah hasrat dan harapan tokoh-tokoh pendiri bangsa untuk mewujudkan negara bangsa yang menghargai dan melanjutkan tradisi.

Jelas beliau, ia sekali gus berkeupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan dan peredaran zaman.

“Gabungan kedua gagasan RB dan DB dapat saling melengkapi dan mengimbangi agar pemerintahan dan politik Malaysia wujud dalam keadaan keseimbangan yang dinamik.

“Tanpa keadaan itu, negara tidak akan maju dan tinggal jumud manakala tanpa keseimbangan, keadaan akan menjadi kacau-bilau dan pembangunan sosial dan ekonomi pasti terbantut.

“Ini adalah akibat amalan demokrasi yang bermasalah yang sering diselewengkan,” katanya ketika  menjadi panelis pada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di Hotel Marriot Putrajaya di sini hari ini.

Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Institusi Raja: Peranan Monarki Mengatasi Dilema Demokrasi bagi sesi empat bertajuk Institusi Raja Sebagai Pasak Negara.

Konvensyen tersebut adalah anjuran Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU), Majlis Dakwah Negara.

Firdaus menjelaskan, masyarakat dapat berhujah bahawa gabungan gagasan DB dan RB adalah satu penyelesaian Malaysia terhadap masalah atau dilema demokrasi. – MalaysiaGazette