Datuk Seri Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – MCA mengakui wujud perbincangan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) berhubung pertukaran kerusi pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti itu sentiasa terbuka mengenai kemungkinan pertukaran kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) milik parti itu.

“Memang ada kerusi yang sedang kita bincangkan antara Gerakan, MCA, UMNO, MIC dan semua parti komponen dalam BN.

“Kita sentiasa terbuka untuk berbincang dari segi pertukaran, penambahan dan perkara yang berkaitan untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya lapor sebuah laman portal pro BN hari ini.

Ahli Parlimen Bentong itu bagaimanapun tidak menamakan kerusi milik MCA yang diintai oleh parti komponen.

Tambah Tiong Lai, belum ada sebarang keputusan yang boleh diumumkan kerana proses perbincangan masih berjalan di peringkat tertinggi BN.

“Sampai dekat pilihan raya nanti kita akan umumkan mana-mana kerusi yang ditukar atau pun yang diperolehi melalui muafakat semua parti kompenon BN,” ujarnya.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, MCA sentiasa bersedia menghadapi PRU ke-14 dan sudah membuat persiapan rapi sejak tahun lalu. – MalaysiaGazette