JOHOR BAHRU-  Istiadat  Persandingan Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan Dennis Muhammad Abdullah yang diadakan di Bilik Singgahsana, Istana Besar, di sini malam ini berjalan dengan lancar.

Istiadat persandingan puteri tunggal Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah disiarkan secara langsung kepada orang ramai menerusi dua skrin digital gergasi di Dataran Bandaraya di sini malam ini.

Persandingan diraja itu bermula 8.30 malam dijalankan dengan penuh adat istiadat dan budaya diraja Johor, di mana pengantin perempuan mengenakan Baju Kurung Teluk Belanga manakala pengantin lelaki pula segak berpakaian Baju Melayu Teluk Belanga.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, kerabat serta rakan terdekat berangkat menghadiri istiadat tersebut.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam, Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Hadir sama, ibu bapa Dennis Muhammad, Martin dan Henriette Verbaas, ahli keluarga dan rakan terdekat dari Belanda.

Kira-kira 1,200 tetamu kenamaan termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menghadiri majlis ringkas tapi penuh bermakna itu.

Istiadat merenjis dan menepung tawar dimulakan oleh Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha sebelum diikuti Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri, Tunku Azizah Almarhum Sultan Iskandar serta Tunku Ismail dan Che’ Puan Khaleeda turut menyempurnakan istiadat tersebut.

Selain itu, Perdana Menteri dan isteri turut menyempurnakan istiadat merenjis dan menepung tawar itu sebelum istiadat itu diakhiri dengan bapa dan ibu Dennis Muhammad, Martin dan Henriette Verbaas.

Majlis dan siaran langsung diakhiri dengan keberangkatan keluar pasangan pengantin dan tetamu majlis dari dewan Istana Besar bagi memulakan acara santapan diraja.

Terdahulu, Tunku Tun Aminah sah bergelar isteri kepada Dennis Muhammad dengan sekali lafaz dalam Bahasa Melayu di Istiadat Akad Nikah yang berlangsung di Istana Bukit Serene, di sini, pagi tadi. – MalaysiaGazette.