Bekas pegawai Tun Dr. Mahathir, Abdul Hameed B. Gula Maideen bercakap pada sidang media berkaitan rahsia Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang dilakukanya di Petaling Jaya Industrial Park, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Bekas pekerja Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdul Hameed Gula Maideen hari ini mencabar Pengerusi Pakatan Harapan itu bersumpah menjunjung Al-Quran.

Menurutnya, sumpah itu perlu dilakukan di hadapan makam wali yang disegani di Kedah yang juga Sultan Kedah terdahulu, Almarhum Sultan Abdul Hamid.

Katanya, ia bertujuan menuntut agar dakwaannya sebelum ini dalam satu sidang media di Petaling Jaya adalah satu pembohongan, maka Mahathir perlu berbuat demikian untuk membersihkan nama sekali gus menamatkan spekulasi orang ramai terhadap dirinya itu.

Dalam sidang media semalam, Abdul Hameed mendakwa, Mahathir menyimpan wang kertas RM1,000 dan RM500 sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri yang disimpan di Taiwan dari tahun 1982 hingga 1995.

Sejumlah 35,980,800 keping wang kertas RM500 dan 65,417,100 keping not RM1,000 berada dalam simpanan Mahathir di luar negara.

“Saya ada maklumat wang RM1,000 dan RM500 masih berikat ada Taiwan. Kami ada senarai nombor siri wang ini berjumlah RM83 bilion.

“Masa Tun M (Mahathir) kerja di Kementerian Kewangan, ada tiga orang yang tahu akan perkara ini.

“Wang-wang ini dicetak di London dan dihantar ke Taiwan dipegang oleh CKS Foundation secara berperingkat dari tahun 1982 hingga 1995. Wang itu masih ada di sana.

“Saya cuba nak bawa balik, tapi ada halangan daripada pihak mereka,” katanya dalam sidang media itu yang dibuat di pejabat Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP).

Abdul Hameed berkata, sehingga hari ini Mahathir sudah diketahui tidak akan mengambil peduli dakwaannya kerana takut ia akan terbongkar sekiranya bekas perdana menteri itu melayan desakannya.

“Mahathir jika ada desakan atau dakwaan benar, dia tidak akan sesekali melayannya. Jika ia dilayan, ia akan semakin diperkatakan dan perkara sebenar nanti akan terbongkar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, jika ada pihak cuba menggugat kepimpinan Mahathir sebagai Perdana Menteri pada ketika itu Mahathir lebih cenderung menahan individu berkenaan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) daripada membiarkan orang berkenaan bebas dan menyebarkan dakwaan berkaitan beliau.

“Saya berharap, Mahathir akan berani bersumpah dengan menjunjung kitab suci Al-Quran di hadapan makam Almarhum Sultan yang juga wali yang disegani di Kedah ini dan nafikan semua dakwaan saya terhadap beliau,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Menurutnya, sumpah itu perlu dilakukan di hadapan “makam wali yang disegani di Kedah “yang juga Sultan Kedah terdahulu,…..

    Hai main sumpah sumpah begini gaya Hindu ni. Puak Ahli Sunnah Wal Jumaah tak main kubur kubur ni. Hapa ke jadah ni?

Comments are closed.