BARCELONA – Seramai 13 orang disahkan terbunuh dan lebih 100 lagi cedera dengan beberapa dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas sebuah van merempuh orang ramai di Barcelona Khamis petang, lapor agensi berita China Xinhua.

“Kami sedang berusaha mengenali identiti mangsa,” kata Menteri Dalam Negeri Catalan Joaquim Forn menerusi akaun Twitternya.

Sementara itu, dua orang ditahan kerana disyaki terbabit dalam siri serangan keganasan di Barcelona, lapor agensi berita China Xinhua.

Dalam kejadian rempuhan van di Las Ramblas pada Khamis, mengakibatkan 13 maut dan 80 mangsa terpaksa menerima rawatan di hospital dengan 15 orang dilaporkan cedera parah.

Pemandu van berjaya melarikan diri manakala dua suspek (masing-masing warga Maghribi dan Melilla) ditahan polis.

Seorang suspek ditahan di Ripoll dan seorang lagi di Alcanar, tempat berlakunya kejadian letupan pada Rabu menyebabkan seorang maut dan tujuh cedera.

Menurut polis, kejadian letupan mempunyai kaitan dengan serangan di Las Ramblas. – BERNAMA