Daniel Fiedieans

TAWAU – Juara Remaja Dunia Muay Thai, Daniel Fiedieans Maideh berhasrat untuk menyambung pelajaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, di Kuala Lumpur atau Sekolah Sukan Malaysia Sabah di Kota Kinabalu.

Katanya, untuk mencapai hasrat itu dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah pada September ini.

“Saya tidak pasti berapa A saya boleh peroleh tetapi saya akan lakukan yang terbaik kerana saya mahu memasuki sekolah sukan yang menjadi idaman saya,” kata pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Tanjong Batu Keramat itu kepada Bernama.

Dia ditemui selepas Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan Sabah, Naim Ahmad menyerahkan kepadanya insentif tunai bernilai RM3,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Daniel melahirkan rasa kesyukuran terhadap sumbangan daripada kerajaan negeri melalui KBSS yang diterajui Menterinya, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Daniel yang lebih mesra dipanggil Olan berkata duit insentif itu akan digunakan untuk menampung pelajaran dan latihannya kelak.- BERNAMA