Dzulkifli Ahmad

PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad memandang serius kecenderungan saksi-saksi yang terlibat dalam siasatan membuat kenyataan media.

Ujarnya, hal ini seolah-olah menjadi trend sehingga menggangu siasatan yang sedang dijalankan.

“Saya memberi amaran kepada mana-mana individu yang ingin membuat keterangan akhbar berkaitan dengan kes secara langsung atau tidak langsung terhadap kes yang dijalankan SPRM.

“Kita memandang serius hal ini dan memandang ianya sebagai gangguan kepada siasatan yang dijalankan pihak SPRM,” kata Dzulkifli selepas majlis menurun dan menaikkan bendera bersempena pemindahan operasi SPRM di bangunan baharu di Presint 7, Putrajaya.

Menurut Dzulkifli, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan hal itu selepas ini.

Tambahnya, mengikut Seksyen 48 (h) Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan individu yang didakwa boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda sehingga RM10,000.

Amaran itu ditujukan kepada semua pihak tanpa mengira sama mereka adalah ahli politik, penjawat awam atau ahli korporat.

Berikutan itu, beliau menasihati agar mana-mana individu yang disiasat agar tidak membuat ulasan yang boleh mengganggu siasatan sama ada bersifat sivil atau jenayah.

Pada majlis yang sama, Dzulkilfi turut merasmikan bendera pertama SPRM selepas penubuhan suruhanjaya itu 50 tahun lalu. – MalaysiaGazette