S. Subramaniam
PETALING JAYA – DAP sedang melakukan perancangan untuk meneroka kawasan baharu di Johor termasuk bercadang memindahkan calon dari Selangor untuk menentang Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam di Segamat.
Sinchew Daily melaporkan, DAP berniat meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara, Selangor, Yeo Bee Yin untuk bertanding di kampungnya di Segamat.
Selain itu, Bee Yin juga dilaporkan mungkin bertanding di Batu Pahat.
Walaupun Segamat ditandingi PKR pada Pilihan Raya 2008, tetapi ia pernah ditandingi DAP sebelum itu. DAP pada 2013 bertukar Segamat dan Gelang Patah dengan PKR.
Selain itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang sudah bertanding pelbagai kerusi berlainan dilaporkan mahu mencuba nasib di kubu Barisan Nasional (BN) iaitu Tebrau atau Johor Bahru di Johor pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14).
Pelbagai petanda juga menunjukkan Kit Siang akan kekal di Johor pada PRU-14 walaupun sukar dipastikan sama ada Ahli Parlimen Gelang Petah itu akan kekal bertanding di kerusi sedia ada, atau meneroka kawasan baharu.
Selain itu, DAP juga perlu mengambil kira bahawa kerusi Johor Bahru dan Tebrau merupakan kawasan yang ditandingi PKR sebelum ini.
PKR telah mengenal pasti calon sesuai untuk ketiga-tiga kawasan yang diintai Kit Siang iaitu Johor Bahru, Tebrau malahan Pasir Gudang.
“Kit Siang lebih berpeluang di Johor Bahru atau Tebrau, tetapi agak sukar di Pasir Gudang.
“Di Johor Bahru pula, walaupun ia merupakan kawasan bandar tetapi sokongan kepada pembangkang tidaklah kuat pada pilihan raya sebelum ini, perkara ini harus dijadikan pertimbangan,” kata sumber.
Menurutnya lagi, Tebrau mungkin menjadi pilihan Kit Siang memandangkan ia merupakan kerusi milik MCA.
Sumber DAP Johor berkata, kesanggupan PKR memberi laluan akan menentukan hala tuju Kit Siang di Johor. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.