Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – “Saya rasa terharu kerana gelaran Raja Katak yang saya pegang sekian lama telah berpindah tangan kepada Tan Sri Muhammad Muhd. Taib,” seloroh bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Dr. Ibrahim Ali.

Menurut beliau, gelaran Raja Katak juga turut disandang oleh dua lagi pemimpin politik iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Ezam Mohd. Noor.

“Mereka bertiga adalah pemegang pingat emas dalam acara lompat parti manakala saya kini hanya pemegang pingat perak dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu pemegang pingat gangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya di sini, setelah diminta mengulas berhubung penyertaan semula bekas Menteri Besar Selangor itu ke dalam UMNO.

Kata Ibrahim, secara logiknya beliau tidak layak digelar Raja Katak kerana sepanjang perjuangannya dalam politik, beliau tidak pernah lompat parti sebagaimana dilakukan oleh Muhd. Taib, Zaid, Ezam, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan ramai lagi.

“Saya menyertai Berjasa sekitar pertengahan 1970-an kerana dipelawa oleh Allahyarham Datuk Mohammad Nasir. Beberapa tahun kemudian Berjasa ada masalah dan dibubarkan. Saya teruskan perjuangan dalam UMNO.

“UMNO pun bermasalah ketika itu sehingga diheret ke mahkamah dan diisytiharkan haram. Saya serta Parti Semangat 46 (S46) yang saya anggap sebagai parti asal UMNO.

“Pada tahun 2004 pula saya dipecat oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi tanpa sebarang alasan. Mana yang dikatakan saya lompat parti? Tidak ada. Apa yang berlaku pada saya ialah saya yang melempar lembing dan saya yang terkena,” katanya.

Beliau berharap rakyat faham sejarah penglibatannya dalam parti yang mana pernah menggunakan lambang Pas untuk bertanding pada pilihan raya tahun 2008.

Jelasnya, beliau tidak pernah masuk Pas dan tidak timbul soal melompat parti.

“Gelaran Raja Katak ini diberikan oleh musuh saya. Mereka tidak senang dengan perjuangan saya, mereka cuba untuk menjatuhkan imej saya dengan memberi gelaran itu.

“Sekarang kenapa tidak ada yang keji dan sorak kepada Muhd. Taib, Zaid dan Ezam? Merekalah Raja Katak sekarang ini,” katanya. – MalaysiaGazette