M. Sambanthan

KUALA LUMPUR – Presiden IPF, Datuk M. Sambanthan bakal menganggotai Dewan Negara tidak lama lagi.

Pemimpin parti mesra Barisan Nasional itu mengesahkan menerima surat pelantikannya sebagai Senator Dewan Negara.

Beliau yang dihubungi MalaysiaGazette berkata, surat bertarikh 15 September itu diterima beliau di pejabat pada Isnin lalu.

Beliau menyifatkan pelantikannya sebagai senator merupakan pengiktirafan untuk perjuangan parti selama 26 tahun.

“Walaupun kami belum diterima secara rasmi sebagai komponen BN, perjuangan selama 26 tahun untuk masyarakat India miskin tegar selama ini dibela.

“Sebelum ini kami juga pernah mendesak Perdana Menteri untuk memberi peluang kepada IPF mengambil bahagian dalam majlis perbandaran dan Dewan Negara.

“Segala perjuangan kami selama ini akhirnya mendapat kejayaan menerusi pelantikan ini, dan ini hanyalah permulaan, lebih banyak lagi sedang menunggu IPF dalam membela komuniti India,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tarikh mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara tidak dinyatakan dalam surat rasmi kerajaan itu.

“Saya hanya menerima surat itu menerusi tangan tetapi tidak dinyatakan bila perlu tampil mengangkat sumpah.

“Saya yakin dalam tempoh terdekat mungkin (Isnin atau Selasa ini) majlis ini akan berlangsung di Parlimen,” katanya sambil menjelaskan beliau masih menunggu panggilan daripada Senat Dewan Negara.

IPF ditubuhkan oleh mendiang Tan Sri MG Pandithan untuk membela nasib masyarakat India termiskin dari kawasan pedalaman dan ladang di negara ini untuk menjamin taraf hidup yang lebih baik.

Sejak Pandithan meninggal dunia pada 30 April 2008 akibat komplikasi paru-paru, Sambanthan menerajui parti itu untuk terus memastikan masyarakat India terbela di bawah payung BN dan terus setia kepada kepimpinan setiap perdana menteri dalam parti pemerintah itu.

Ditanya mengenai harapannya, beliau menyatakan keyakinan pelantikannya sebagai ahli Dewan Negara memberi suntikan kepada parti  untuk diserap sebagai komponen BN tidak lama lagi.

Beliau, berjanji akan bekerja keras untuk pembangunan masyarakat India dan menjamin kesejahteraan hidup menerusi pelaksanaan transformasi yang dilaksana kerajaan.

“Jawatan senator ini memberi semangat untuk ahli parti kami yang bekerja keras untuk kemenangan BN selama ini walaupun status kami masih mesra BN,” katanya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.