BANTING – Pelakon, Neelofa mengakui dia tidak pernah terfikir mahu gelaran Datuk walaupun telah melakar kejayaannya sebagai usahawan dan pencapaian sebagai wanita Muslim di pentas dunia, baru-baru ini.

Neelofa, 28, lebih mengutamakan kualiti kerja yang dihasilkan dan apa manfaat yang dapat diberikan kepada diri sendiri dan masyarakat.

“Bila bercakap tentang gelaran Datuk, lebih baik saya fokus kepada kualiti kerja dan melabur kepada sesuatu yang dapat memberi nilai diri sendiri dan orang ramai.

“Saya tidak pernah terfikir pun bila hendak dapat gelaran Datuk ini. Itu tidak. Tapi saya lebih penting apa yang saya boleh buat lagi.

“Saya pun tidak ada jawapan jika dapat gelaran itu kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas majlis pengumuman sebagai duta Lancome untuk alat solekan selama setahun di Eco Sanctuary Gallery  di sini hari ini.

Neelofa kini menjadi antara selebriti yang paling berjaya dalam bidang perniagaan sebagai jutawan tudung.

Beliau juga baru pulang dari New York, Amerika Syarikat minggu apabila diundang membentangkan kertas kerja  bagi menjayakan program persidangan belia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dia juga menghadiri minggu fesyen istimewa Swarovski di kota fesyen, Milan dengan membawa imej wanita Muslimah apabila penampikannya mendapat pujian tetamu bukan Islam di sana.

Hujung minggu ini, wanita kelahiran Kelantan itu akan terbang akan ke Boston, Amerika Syarikat untuk menjalani program istimewa bersama majalah antarabangsa Forbes.

Ketika ini, ramai selebriti dianugerahkan gelaran Datuk sebagai penghargaan kepada dunia seni dan negara.

Sementara itu, pengacara dan pelakon popular itu mencatat sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang dilantik menjadi duta kepada jenama kosmetik mewah antarabangsa, Lancome.

Neelofa juga merupakan wanita berhijab pertama di dunia yang diangkat untuk menjadi duta kepada jenama kosmetik mewah tersebut.

Usahawan yang juga pengasas Naelofar Hijab itu juga bakal bertolak ke Paris untuk memenuhi tuntutannya sebagai duta jenama terkemuka itu. – MalaysiaGazette