KUALA LUMPUR – Setelah berada dalam keadaan kritikal selama lima hari, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd, Datuk Maznah Hamid meninggal dunia kira-kira pukul 6.10 petang tadi.

Maznah, 62, yang juga Exco Wanita UMNO lebih dikenali sebagai ‘Iron Lady’ sebelum ini dilaporkan kritikal berikutan komplikasi pendarahan dalaman selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) .

Beliau dimasukkan ke IJN untuk menjalani rawatan sejak 18 September lalu.

Pada 29 September lepas, beliau dilaporkan menjalani pembedahan jantung terbuka yang pertama selepas dua saluran pada injap jantungnya,tersumbat.

Maznah dipindahkan ke ICU selepas pembedahan tamat pada 2 petang hari yang sama sebelum pihak IJN terpaksa menjadikan ICU tersebut sebagai bilik bedah untuk menjalankan pembedahan jantung terbuka yang kedua, berikutan pendarahan dalaman teruk yang dialaminya.

Pihak keluarga memaklumkan jenazah allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya jam 10 malam ini di alamat Lot 3688, Jalan Ukay 2, off Jalan Lee Hin Neo, Ukay Heights, 68000 Ampang, Selangor.

Solat jenazah akan diadakan esok, selepas solat Asar di Masjid Darul Ehsan, Taman Tar, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Raudhatul Sakinah , Taman Batu Muda. – MalaysiaGazette