Kongsi
Dr Kassim Ahmad . foto Bernama

KUALA LUMPUR – Keluarga Allahyarham Dr. Kassim Ahmad┬ámengesahkan dakwaan ada pengurusan masjid di Kedah menolak untuk menguruskan pengkebumiannya pada Selasa lalu.

Berikutan itu, anak allahyarham, Shauqi menghubungi Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang bagi mendapatkan pencerahan.

“Ada orang-orang (dalam pengurusan masjid) tidak mahu bapa saya dikebumikan disana. Saya sudah bercakap dengan pihak pengurusan masjid semalam.

“Memang ada (penolakan untuk bapa saya dikebumikan) dan arahan daripada Mufti Kedah untuk mengizinkan arwah di kebumikan disitu,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini.

Jelas Shauqi, pada majlis pengkebumian arwah bapanya di Masjid Kilang Lama Kulim, pihaknya ada terdengar ‘suara-suara’ yang enggan menguruskan jenazah.

“Memang terdengar suara-suara (yang menolak arwah dikebumikan di sana) tapi imam tidak buat begitu. Imam kata jangan bimbang.

“Saya sangat sedih kerana arwah bapa saya banyak memperjuangkan nasib masyarakat pada seluruh hayatnya. Bila berita sebegini ini dilaporkan, saya sangat kecewa dakwaan ini,” ujar Shauqi dalam nada sebak.

Malaysia Gazette semalam melaporkan pengkebumian jenazah Kassim Ahmad mencetuskan kontroversi apabila ada masjid yang menolak untuk menjalankan upacara berkenaaan pada Selasa lalu.

Perkara itu diketahui menerusi status Facebook, Wan Kamarul Wan Amir yang mendakwa perkara itu berlaku setelah ada pihak pengurusan masjid yang menolak untuk mengebumikan penulis buku Hadis: Satu Penilaian Semula itu.

Mengenai dakwaan ada seorang paderi yang ingin menjalankan upacara pengebumian setelah ditolak beberapa masjid, Shauqi berkata, ia adalah fitnah kerana paderi tersebut adalah sahabat lama kepada arwah bapanya.

“Dakwaan paderi mohon untuk urusan pengkebumian arwah bapa saya tidak benar. Saya berada berhampiran paderi tersebut. Kami saling mengenali, itu semua fitnah.

Kassim Ahmad meninggal dunia selepas dirawat di Hospital Kulim sejak September lalu dilaporkan koma semalam selepas mengadu sukar bernafas. -MalaysiaGazette.

Ada masjid tolak urus pengkebumian Kassim Ahmad?

1 Komen

Tinggalkan Jawapan