Kongsi
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun menyaksikan upacara menandatangani dokumen dan serah terima tugas jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di antara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) dengan Datuk Amar Singh Ishar Singh (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi PERKEP, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Datuk Amar Singh Ishar Singh mempunyai misi yang perlu digalas di Bukit Aman selepas ini setelah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang baharu.

Katanya, beliau akan berjumpa dengan Amar Singh dalam masa terdekat untuk menyampaikan amanat dan tugas yang perlu dipikulnya.

“Perjumpaan itu adalah hendak menjelaskan dengan beliau (Amar Singh) mengenai fokus dan perhatian yang perlu diberi terhadap banyak kes siasatan melibatkan komersial. JSJK ini bukan mudah seperti jabatan lain seperti disangka semua.

“Dalam komersial banyak kes kes melibatkan penipuan kewangan bukan sekadar ratus atau ribuan tetapi jutaan ringgit.

“Ini perlu diselesaikan PDRM yang dianggap satu cabaran,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak hari ini.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Istiadat Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah/Pengerusi Perkep Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar di sini hari ini.

Sementara itu, bekas Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pula mengambilalih jawatan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman menggantikan Datuk Seri Abd. Manan Mhd. Hassan yang bersara wajib selepas 41 tahun berkhidmat.

Dalam ucapannya Mohamad Fuzi berkata, istiadat serah terima tugas adalah majlis kepimpinan biasa berikutan persaraan wajib pegawai kanan tertinggi sesebuah jabatan PDRM.

Beliau juga mengakui ramai yang bergembira dengan berita pelantikan Amar Singh menerajui JSJK berdasarkan pencapaian cemerlangnya semasa menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur.

“Diharap dengan pengalaman, pengetahuan serta kebijaksanaan mengendalikan kes profil tinggi dan kejayaan versatil yang ditunjukkan di Kuala Lumpur akan menyerlah dan mengangkat nama JSJK selepas ini,” katanya lagi.

Dalam sidang media sama, Mohamad Fuzi berkata, polis akan mengkaji Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digunapakai PDRM berikutan kemalangan maut melibatkan dua anggota polis trafik di Teluk Kalung, Dungun semalam.

Dua anggota berpangkat Sarjan Mejar dan Koperal itu maut di lokasi kejadian akibat kemalangan semasa membawa konvoi menjalani latihan dalam perkhidmatan menunggang jarak jauh motosikal berat dari Johor ke Dungun.

“Kita akan lihat dan kaji semula SOP dan punca kejadian dan akan melakukan penambahbaikan untuk mengelak insiden seumpama pada masa aka datang,” tegasnya.-MalaysiaGazette

Kongsi

Tinggalkan Jawapan