Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kabinet bersetuju dengan langkah untuk memperluaskan Mahkamah Jenayah Seksual terhadap kanak-kanak ke seluruh negara, kata Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, keputusan tersebut dicapai pada 27 September lalu dan ia akan dilaksana secara berperingkat.

“Suka saya maklumkan bahawa Jemaah Menteri juga pada 27 September 2017 telah bersetuju supaya Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negeri di Malaysia,” katanya semasa menjawab soalan di dalam dewan.

Sebagai permulaan ia akan dilaksanakan di Negeri Sarawak, Selangor dan Johor dan pelaksanaan secara berperingkat ini berdasarkan dengan statistik bilangan kes yang banyak.

Jelasnya lagi, satu jawatankuasa khas juga ditubuhkan bagi merangka Standard Operating Procedures (SOP) berhubung pengendalian kes-kes jenayah seksual tersebut.

“Di samping itu, satu Jawatankuasa Kerja Bagi Menyediakan Garis Panduan Khas Untuk Mengendali Kes-Kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak telah ditubuhkan bagi merangka Special Standard Operating Procedures (SOP) atau suatu Garis Panduan Khas untuk mengendali kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan telah mengadakan Mesyuarat Pertama pada 29 September 2017.

“Jawatankuasa Kerja tersebut terbahagi kepada dua iaitu Jawatankuasa Kerja (Induk) dan Jawatankuasa Kerja (Kecil). Jawatankuasa Kerja itu akan melibatkan semua pihak berkepentingan,” ujarnya.

Selain itu, program latihan perundangan turut akan dilaksanakan oleh Jabatan Peguam Negara, Mahkamah dan Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan secara berterusan.

Pegawai Perundangan dan Kehakiman yang dilantik untuk mengendalikan kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak akan dilatih oleh tenaga pengajar dari kalangan pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai pakar dari pelbagai bidang yang berkaitan.

Mahkamah Khas tersebut sudah beroperasi sejak Julai lalu di Istana Kehakiman, Putrajaya. – MalaysiaGazette