Home #Bajet2018 Hasil kerajaan naik semula

Hasil kerajaan naik semula

KUALA LUMPUR – Hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun ini dijangka kembali meningkat sebanyak 6.1 peratus kepada RM225.3 bilion atau 16.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Peningkatan ini disumbang oleh kutipan hasil cukai yang lebih tinggi sebanyak 6.4 peratus, khusus cukai pendapatan syarikat (CITA) dan individu, menurut Laporan Ekonomi 2017/2018.

Usaha berterusan kerajaan dalam mempelbagaikan sumber hasil telah mengurangkan kebergantungan terhadap hasil berkaitan petroleum.

Hasil cukai yang mewakili 80 peratus daripada jumlah hasil atau 13.5 peratus daripada KDNK kekal sebagai penyumbang utama hasil Kerajaan Persekutuan.

Pada 2017, hasil cukai dijangka meningkat 6.4 peratus kepada RM180.2 bilion.

Cukai langsung dijangka meningkat 9.2 peratus kepada RM119.7 bilion yang disumbangkan oleh peningkatan kutipan hasil cukai pendapatan syarikat, individu dan petroleum.

CITA dijangka meningkat 6.6 peratus kepada RM67.8 bilion selaras dengan keuntungan syarikat yang lebih baik serta usaha meningkatkan pematuhan dan menambah baik pentadbiran cukai.

Cukai pendapatan individu dianggar RM30.1 bilion berikutan pertumbuhan gaji yang stabil dan peningkatan bilangan fail cukai pendapatan individu kepada 7.2 juta fail pada akhir September tahun ini manakala cukai pendapatan petroleum (PITA) dianggar meningkat 29.9 peratus kepada RM10.9 bilion ekoran kenaikan harga minyak mentah.

Cukai langsung lain disumbangkan oleh duti setem dan keuntungan harta tanah terus meningkat selari dengan kenaikan nilai pasaran hartanah.

Manakala cukai tidak langsung dijangka meningkat 1.3 peratus kepada RM60.5 bilion disebabkan peningkatan GST.

Laporan Ekonomi 2017/18 menambah, hasil bukan cukai dijangka meningkat 4.8 peratus kepada RM45.1 bilion yang mewakili 20 peratus daripada jumlah hasil.

Ia dipacu oleh kestabilan pendapatan pelaburan terutama dari Petronas dan Bank Negara Malaysia. – MalaysiaGazette