Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (tengah) bersama Pengerusi Kumpulan BTS Group, Keeree Kanjanapas (kanan) dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif BTS Group, Kavin Kanjanapas (kiri) bergambar kenangan bersama pada Majlis Pelancaran Titanium Compass Sdn. Bhd. dan VGI Global Media Sdn. Bhd. di Menara Manulife, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto NIZAM ZAIN, 16 NOVEMBER 2017
KUALA LUMPUR – Isu larangan pemakaian tudung di kaunter oleh segelintir pengusaha hotel bukan sahaja dihadapi orang Islam bahkan komuniti Sikh di negara ini juga terpalit dengan isu yang sama.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, larangan tersebut sudah lama dialami komuniti Sikh yang dinafikan haknya memakai pakaian tradisi mereka, turban.

“Isu ini terkena kepada bangsa Sikh atau Punjabi. Selama ini mereka menderita dalam senyap beberapa tahun lalu. Mereka tidak dibenarkan bekerja di kaunter atau barisan hadapan hotel kerana mereka memakai turban.

“Jangan lihat isu ini kepada orang Islam sahaja,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran pejabat urusan Titanium Compass Sdn. Bhd. dan VGI Global Media Sdn. Bhd di Bukit Damansara hari ini.

Hadir sama Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Siew Ka Wei; Pengerusi Kumpulan BTS Group, Keeree Kanjanapas serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif BTS Group, Kavin Kanjanapas.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa rangkaian hotel antarabangsa di negara ini telah menetapkan syarat larangan memakai tudung kepada pekerja wanita muslim di hotel mereka.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bagaimanapun mempertahankan tindakan hotel itu atas alasan ia adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa.

Mohamed Nazri juga memberi amaran kepada mana-mana pengusaha hotel yang beroperasi di negara ini agar tidak melakukan tindakan kontroversi

“Kalau ia pernah dilakukan, ia tidak sepatutnya berulang sekali lagi. Kalau tak pernah dilakukan, jangan buat,” tegasnya.

Mohamed Nazri juga berkata, sekiranya terdapat mana-mana pengusaha hotel masih berdegil dan mengenakan syarat terbabit, mereka boleh didakwa dan ambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kerja 1955.

“Salah satu undang-undang yang kita boleh lakukan terhadap mereka adalah di bawah Akta Pekerja kerana ia jelas mengatakan bahawa tidak boleh berlaku apa-apa diskriminasi dalam soal pengambilan pekerja di syarikat-syarikat.

“Malah banyak lagi akta lain mengenakan syarat yang sama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

Adakah telanjang lebih baik daripada bertudung? – Nazri