KUALA LUMPUR – Kemungkinan Stesen Angkasa China Tiangong-1 jatuh di Malaysia adalah sangat rendah, kata Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) Dr Noordin Ahmad.

Beliau berkata berdasarkan keluasan negara iaitu 329, 960.22 kilometer persegi, kebarangkalian untuk Malaysia menjadi tempat jatuhnya serpihan hanyalah 0.09 peratus dan kebarangkalian untuk Kuala Lumpur yang berkeluasan 243.65 km persegi pula adalah kira-kira 0.0000699 peratus sahaja.

“Berdasarkan kiraan, luas kawasan yang dirangkumi 43 darjah utara hingga ke 43 darjah selatan ini, melibatkan banyak negara lain di dunia termasuk Malaysia dan mempunyai keluasan anggaran kira-kira 347, 860, 000 km persegi.

“Selain daripada Malaysia khususnya Kuala Lumpur, kawasan ini turut meliputi Singapura (1.35 darjah utara); Sydney, Australia (33.86 darjah selatan); Florida, Amerika (27.66 darjah utara) dan Beijing, China (39.90 darjah utara),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 14 Sept 2016, Penolong Pengarah di China Manned Space Engineering (CMSE), Wu Ping mengumumkan bahawa stesen angkasa yang dilancarkan pada 29 Sept 2011 itu akan jatuh ke atmosfera bumi pada penghujung tahun ini selepas misi selama enam tahun.- BERNAMA