Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika berucap di majlis Anugerah StarProperty.my. foto Royal Press Office

JOHOR BAHRU – Harga kediaman sekarang terlalu mahal sehingga tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan pembeli, kata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Baginda yang prihatin terhadap isu itu mahu kerajaan bekerjasama dengan para pemaju bagi mencari penyelesaian menang-menang supaya dapat membina lebih banyak perumahan mampu milik untuk semua kaum.

“Harga rumah sekarang terlampu tinggi. Orang ramai tidak mampu beli…mereka hanya mampu melihat sahaja,” katanya ketika berucap di majlis Anugerah StarProperty.my di sini malam tadi.

Sultan Ibrahim berkata, para pemaju juga tidak mampu mencari pembeli meskipun ada rizab untuk pembeli Bumiputera.

Sedangkan, kata baginda, kuota Bumiputera sepatutnya membantu tetapi ia gagal.

“Saya tahu banyak skim perumahan yang mampu milik dibina dalam pembangunan bercampur-campur, tetapi rumah murah juga masih tidak mampu dimiliki oleh orang Melayu,” katanya yang mahu semakan dibuat pada polisi tersebut.

Sultan Ibrahim mahu Bangsa Johor menjadi masyarakat yang memiliki rumah sendiri, bukan sahaja terhad kepada orang Melayu supaya pembangunan dapat dinikmati semua.

Sultan Ibrahim berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan kawasan zon yang ditetapkan untuk perumahan yang mampu dimiliki dalam projek-projek pembangunan.

Baginda juga menasihatkan kerajaan agar menyelaraskan dasar perumahan kerana tidak sepatutnya wujud “dasar ketika waktu baik dan dasar semasa tempoh tidak baik”.

Beliau berkata, dasar yang tidak konsisten akan mempengaruhi keputusan pelabur jangka panjang.

Pada masa sama, perlu ada fleksibiliti kerana polisi ‘pelaksanaan untuk semua’ tidak boleh dilaksanakan kerana setiap negeri mempunyai perbezaannya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.