Foziah Nawawi

KUALA LUMPUR – Negeri lain wajar mencontohi ketegasan kerajaan negeri Negeri Sembilan yang mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak memperbaharui atau mengeluarkan lesen kepada hotel yang melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan.

Menurut Ketua Wiranita Perkasa Malaysia, Foziah Nawawi, sayap Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu berdiri teguh dan menyokong penuh pendirian Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, Wiranita juga bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan itu bahawa tindakan tegas tersebut amat wajar kerana dasar berat sebelah itu jelas menunjukkan perbuatan diskriminasi serta tidak menghormati budaya dan agama yang ada di Malaysia.

Bahkan kata beliau, sikap biadab sesetengah pengusaha hotel tidak membenarkan wanita Islam bertudung ketika bertugas bertentangan dengan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan.

“Kita memandang serius berhubung pendedahan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mengenai aduan kakitangan hotel kepada pusat itu berkaitan diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung, baru-baru ini.

“Ini adalah sikap kurang ajar dan tidak menghormati hak wanita muslim untuk mengamalkan ajaran agamanya dan bertentangan juga dengan prinsip dan amalan agama Islam di Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Ahad lalu, Mohamad dilaporkan berkata, jika pengusaha hotel tidak mahu menghormati budaya dan agama di negara ini, mereka tidak perlu menjalankan perniagaan di negeri itu.

Tegas beliau, mereka boleh pergi ke Amerika Syarikat atau Perancis yang memang mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan pekerja memakai tudung.

Mengulas lanjut, Foziah menggesa semua majikan menghormati budaya dan ajaran agama di negara ini serta tidak bertindak mengenakan peraturan sesuka hati yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya, tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa terhadap mana-mana majikan yang melakukan perbuatan diskriminasi dan pilih kasih terhadap pekerja wanita Islam.

“Sekali lagi Wiranita Perkasa Malaysia mengucapkan syukur dan syabas di atas ketegasan yang Menteri Besar Negeri Sembilan. Satu langkah yang disokong sepenuhnya demi menjaga hak dan perlembagaan negara,” katanya. – MalaysiaGazette