Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menandatangani plak perasmian ketika merasmikan Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM) Bina Daulah pada majlis perasmian wisma tersebut di Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 02 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Semua badan penggerak agenda Melayu digesa untuk berganding bahu dalam memperkasakan agenda pembangunan melayu.

Menurut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya dibiarkan keseorangan dalam memperjuangkan agenda Melayu yang menjadi faktor utama dalam merencanakan pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Najib mempunyai kesungguhan politik yang tinggi dalam memperkasakan agenda pembangunan Melayu biarpun diasak dengan pelbagai tohmahan.

“Beliau tidak hilang fokus, walaupun asakan itu bertubi-tubi. Darah Tun Razak mengalir dalam tubuh beliau, kesabaran dan ketahan beliau memang tiada tandingan.

“Beliau luar biasa, jangan biar beliau berjuang serangan, saya akan terus membantu beliau dalam menterjemah perjuangan beliau,” katanya dalam majlis perasmian Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM) Bina Daulah di ibu negara hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MPM, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Setiausaha Agung MPM, Datuk Prof. Dr. Hasan Mad.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, Majlis Perundingan Melayu (MPM) boleh memainkan peranan itu dengan mengumpul semua profesional, ilmuwan dan intelektual dalam memperkukuhkan pembangunan agenda Melayu.

Badan penggerak kaum Melayu tambah Ahmad Zahid, tidak harus berada dalam kepompong Melayu sahaja, namun perlu membawa masuk individu tertentu supaya saling mengimbangi antara satu sama lain.

“Jangan buat kami berdua sahaja, tapi ada MPM juga perlu merialisasikan perkara ini.

“Ianya harus ada kebijaksanaan dan tatasusila dan sifat keindukkan bangsa kita yang telah ada perlu diperingatkan semula bukan sahaja kepada kita tapi generasi akan datang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan bantuan sewaan bangunan kepada MPM sebanyak RM2,800 sebulan selama 10 tahun.

Ia bagi membolehkan MPM bergerak sebagai satu penggerak agenda Melayu. -MalaysiaGazette.