Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli menipu lagi dan mungkin berhadapan dengan tindakan disaman.

Kali ini Ahli Parlimen Pandan itu memuatnaik sidang media di Facebook mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Abdul Rahman Dahlan melantik ahli keluarganya sebagai kontraktor pelaksana Ekspo Negaraku.

Menurut Rafizi, Abdul Rahman telah menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat bernama Pico Integrated Exhibits Sdn Bhd di mana seorang pemegang sahamnya bernama Raslan Dahlan yang didakwa abang kepada Abdul Rahman.

Carian mengenai PICO Integrated Exhibit Sdn Bhd menunjukkkan Pengarah kepada syarikat tersebut adalah Nooraslan Md Dahlan yang didakwa oleh Rafizi Ramli sebagai abang kepada Abdul Rahman Dahlan

“Saya baru sahaja dimaklumkan mengenai sidang media Rafizi Ramli yang menuduh saya melantik abang saya sebagai kontraktor pelaksana Expo NegaraKu.

“Dalam sidang medianya, Rafizi mengatakan bahawa dia telah membuat penyiasatan dan penyelidikan dan dengan yakin menyatakan dia mempunyai bukti yang kukuh bahawa saudara Raslan Dahlan, Ketua Pegawai Ekskutif PICO Integrated Exhibit Sdn Bhd, adalah abang kepada saya,” kata Abdul Rahman dalam kenyataan di sini.

Menurut menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi (EPU) itu, sekali lagi Rafizi secara sengaja merekacipta satu pembohongan besar dalam kerakusan beliau untuk memfitnah dirinya, kerajaan Barisan Nasional dan Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, tindakan itu juga membuktikan Rafizi adalah seorang pembohong tegar bersiri (compulsive serial liar) yang tidak pernah takut kepada Allah.

Rafizi Ramli

Sehubungan itu, Abdul Rahman berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya dalam masa yang terdekat ini untuk tindakan undang undang seterusnya terhadap Rafizi yang disifatkan sebagai pembohong tegar bersiri.

“Saya berharap kepimpinan Pakatan Harapan mengarahkan Rafizi Ramli untuk segera menutup mulut kerana pembohongan Rafizi ini mengaibkan mereka.

“Rakyat perlu membuka mata terhadap pembohong tegar bersiri ini kerana penyakit berbohong dia ini tidak boleh diubati lagi,” katanya.

Carian mengenai sidang media Rafizi yang dimuatnaik di Facebooknya itu gagal kerana paparan tersebut telah dipadamkan. – MalaysiaGazette

 

 

Tinggalkan Jawapan