Home Nasional Konvensyen bincang isu politik ‘terbabas’ dari perlembagaan

Konvensyen bincang isu politik ‘terbabas’ dari perlembagaan

KUALA LUMPUR – Konvensyen Kebangkitan Ummah yang bakal dianjurkan 13 Januari ini antara lain akan menyatakan pendirian terhadap isu politik sekarang yang dilihat semakin ‘terbabas’ daripada garis perlembagaan negara.

Menurut Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahaya, selain itu, konvensyen yang sama akan turut membincangkan pelbagai isu yang menjadi kepentingan umat.

Lima perkara utama yang akan dibentangkan pada konvensyen berkenaan, katanya seperti isu perundangan, pendidikan, ekonomi, politik dan sosial.

“Konvensyen ini medan untuk menyatakan pendirian terhadap isu politik sekarang yang dilihat semakin terbabas daripada garis Perlembagaan negara,” kata Aminuddin pada sidang media hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Ummah, Ismail Mina Ahmad dan Penolong Ketua Sekretariat, Kamaruzaman Mohamed.

Konvensyen itu akan menjadi program yang julung kali dianjurkan oleh Ummah.

Tambah Aminuddin, pihaknya mahu menyemarakkan kesedaran rakyat mengenai kesatuan dan perpaduan menerusi konvensyen berkenaan.

“Konvensyen akan mengumpulkan ahli panel berpengalaman dari kalangan wakil badan bukan kerajaan (NGO), tokoh agama dan ilmuan untuk membuat pembentangan.

“Kami menjangka seramai 1,500 peserta hadir pada konvensyen sehari itu nanti.

Menariknya, konvensyen yang sama akan menyenaraikan tuntutan berkaitan isu utama melibatkan umat Islam untuk diserahkan kepada kerajaan.

“Pada akhir konvensyen, kami akan menggariskan beberapa tuntutan untuk diserahkan kepada kerajaan dan pihak berkepentingan lain.

“Apa yang kami lakukan ini bukan berbentuk retorik atau desakan, sebaliknya cadangan hasil pembentangan nanti diharap dapat menyelesaikan permasalahan yang berlaku dalam masyarakat di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette