Azizah Mohd Dun

KUALA LUMPUR – Terdapat 41 pelantikan wanita sebagai ahli lembaga pengarah syarikat dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) utama sehingga November tahun lalu.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, jumlah itu adalah 18.3 peratus daripada keseluruhan 224 pelantikan ahli lembaga pengarah syarikat dalam GLC dan GLIC.

Kata beliau, berdasarkan rekod terkini Kementerian Kewangan, daripada 132 Badan Berkanun Persekutuan (BBP), hanya 17 BBP atau 13 peratus telah mencapai pelantikan 30 peratus wanita sebagai ahli lembaga pengarah.

“Manakala 81 BBP atau 61 peratus lagi mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli lembaga pengarah wanita, tetapi hanya 34 sahaja atau 26 peratus yang tidak mempunyai seorang pun ahli lembaga pengarah wanita,” katanya menjawab soalan Senator Rahemah Idris di Dewan Negara di sini.

Rahemah yang juga Pengerusi Kluster Pendidikan UMNO Johor meminta kementerian itu menyatakan statistik terkini bilangan wanita dalam keahlian Lembaga Pengarah GLC dan GLIC serta BBP dan juga strategi kementerian dalam menjayakan 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

Menurut Azizah, 2018 telah diisytiharkan sebagai Tahun Memperkasakan Wanita dan jelas dilihat dengan pelbagai kemudahan yang dikhususkan untuk wanita.

Katanya, berdasarkan pengumuman Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, lebih menjurus kepada bajet menyeluruh dari aspek ekonomi, infrastruktur dan sosial.

“Dari segi ekonomi contohnya, peruntukan disalurkan melalui TEKUN dan AIM bagi membantu wanita yang hendak menjana pendapatan melalui keusahawanan.

“Kerajaan juga memfokuskan kepada golongan TN40 iaitu mewajibkan 30 peratus keahlian wanita dalam lembaga pengarah GLC dan GLIC serta badan berkanun,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan negara mencapai sasaran penglibatan wanita dalam bidang pekerjaan, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membantu mereka melalui potongan cukai pendapatan individu ke atas wanita yang kembali bekerja selepas dua tahun.

Tambahan pula, katanya, pelepasan awal satu jam bagi penjawat awam wanita mengandung juga contoh keprihatinan kerajaan terhadap keperluan wanita hamil.

“Kerajaan juga mencadangkan cuti bersalin mandatori dinaikkan dari 60 hari kepada 90 hari untuk dilaksanakan di sektor swasta yang menunjukkan kerajaan tidak sekali-kali mengetepikan wanita di sektor swasta dan suara mereka juga didengari.

“Kini kerajaan telah mewajibkan semua bangunan baru menyediakan pusat jagaan kanak-kanak atau taska bermula di Kuala Lumpur. Bagi pihak kementerian pula, kita akan mengadakan empat perkara yang akan kita tekankan.

“Pertamanya, usaha sama serta kolaborasi strategik dengan agensi lain sebagai kaedah pelaksanaan yang mampu melonjak peranan wanita,” katanya.

Perkara kedua, kata beliau, pemantauan berterusan terhadap penglibatan wanita sebagai golongan sasar dengan agensi kerajaan dan sektor korporat yang lain akan menjadi fokus utama kementerian itu bagi tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

“Inisiatif ketiga ialah melaksanakan kempen Together ataupun #2GetHER. Kempen ini untuk menyokong pemerkasaan wanita di peringkat global melalui pelbagai mekanisme khususnya dalam era milenium dengan melayari portal yang direka khusus iaitu 2gether.my.

“Kempen Together ini juga memberi fokus kepada aspek kesihatan, keselamatan, ekonomi dan budaya yang lebih inklusif melalui kolaborasi N-BOS dengan pelbagai pihak sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette