Fazley Yaakob.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, 39, mencipta sejarah apabila mengetuai  program siri masakan di atas talian, Anak Rembau Ke Australia.

Program itu berdasarkan naskah masakan autentik Negeri Sembilan, My Sucre Story dipilih mengungguli kategori Buku Resipi Terbaik Dari Personaliti TV Luar Eropah sempena Pertandingan Buku Resepi Antarabangsa 2016.

Lebih manis buat anak jati Rembau apabila dia menjadi pilihan institut yang menawarkan pengajian seni kulinari serta pengurusan hotel terbaik sejak tahun 1985, Le Cordon Bleu (LCB).

Dibawa secara eksklusif oleh LCB Paris dan Australia, Mazola Cooking Oil sebagai penaja manakala Astra Holidays (penaja bersama), program berpaksi memberikan kesedaran terhadap menu atau masakan Negeri Sembilan ke Australia itu diisikan lima episod dengan setiap satunya berdurasi kurang empat minit terangkum penggambaran di tiga buah bandar; Adelaide, Sydney dan Melbourne.

Relevan program ini diangkat judul Anak Rembau Ke Australia, jelas Fazley yang merupakan pengasas SukaSucre Bistro bertema menu From Rembau To Paris itu berkongsi bahawa beliau pernah ke LCB Sydney sebelum ini bagi melibatkan diri dalam kelas masakan Negeri Sembilan.

“Rentetan itu, LCB merasakan terdapat kekurangan cef yang memfokus masakan Asia Tenggara berbanding menu negara Cina, Thailand, Vietnam, Jepun dan Korea yang sudah lama popular di luar.

“Justeru, mereka meyakini bahawa saya boleh mula mempopularkan hidangan Melayu dengan resipi tempat kelahiran saya terlebih dulu kepada para pelajar LCB serta orang luar,” ujar beliau yang dipilih sebagai penerima Anugerah Alumni Paling Cemerlang sempena Malam Gala Alumni LCB pada 18 September lalu sekaligus mengharumkan nama Malaysia.

Berkongsi momen sepanjang mengepalai kembara jauh Anak Rembau Ke Australia selama seminggu itu, bapa kepada empat cahaya mata ini turut menempuhi pelbagai pengalaman dan salah satu apabila bahan-bahan mentah yang dibawa dari Malaysia telah ditahan dan dibuang oleh pihak kastam di negara tersebut yang bertujuan mengelakkan keracunan atau pencemaran terhadap hasil tanaman mereka.

“Selain itu, saya menemui ramai pelajar dari Asia tidak tahu cara hendak kopek kelapa bagi mengeluarkan air dan isinya. Malah, ada yang tidak pernah memegang kelapa segar terutama mereka dari Hong Kong dan Cina.” akhiri Fazley yang turut diundang sebagai juri bagi pertandingan masakan di antara para graduan di sana anjuran Kelab UMNO Australia Sydney (KUASYDNEY) semasa pengembaraan Anak Rembau Ke Australia berlangsung.

Menariknya, LCB New Zealand, London, Paris dan seluruh Eropah termasuk Madrid serta Lebanon telah menjemput Fazley bagi mengadakan kelas masakan sama yang dijadualkan menjalani penggambaran tidak lama lagi.

Untuk menonton perjalanan Anak Rembau Ke Australia, peminat boleh melanggan dan melayari laman YouTube; http://youtube.com/fazleyyaakob dengan episod pertama (Adelaide) dimuat naik pada 15 Disember jam 8 malam.

Berkongsi perkembangan terkini, pelantun lagu Ketiadaan itu bakal muncul menerusi sebuah program masakan bersama cef lagenda, Martin Yan terbitan Asian Food Channel di samping program kulinari lain bercirikan fusion tempatan dan usai menamatkan pengajian kulinari keempat bagi pengkhususan pembuatan roti tradisional Perancis di LCB Paris baru-baru ini. – MalaysiaGazette