Pengerusi Kumpulan Pemodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Wahid Omar memberi penerangan Pengemuman Pengagihan Pendapatan Suku Keempat ASB dan ASN di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 22 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR- Bagi memudahkan pelabur untuk memeriksa baki akaun serta membuat simpanan, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) akan menyediakan perkhidmatan menerusi mesin ATM menjelang suku ketiga 2018.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, langkah tersebut merupakan inisiatif terbaharu PNB bagi memudahkan pelanggan sejajar dengan kemajuan teknologi masa kini.

“Pakar-pakar teknologi maklumat (IT) kami sedang berusaha ke arah itu.

“Buat permulaan, kami akan mengadakan projek perintis dengan Maybank sebelum meluaskannya kepada bank-bank yang lain,” katanya semasa sidang media selepas majlis pengumuman agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) di sini hari ini.

Bagaimanapun, PNB tidak berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan pengeluaran atau penjualan dana melalui mesin ATM.

Selain itu, PNB juga merancang untuk melancarkan portal versi kedua yang lebih terkini dan mantap pada tahun depan.

Sejak setahun yang lalu pengurus dana terbesar di Malaysia itu giat melakukan migrasi sistem IT ke arah penggunaan teknologi digital yang lebih terkini bagi meningkatkan penyampaian kepada pemegang unit Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

Dalam pada itu, menyentuh mengenai prestasi tahunan PNB pada 2017, Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, syarikat itu berjaya mencatatkan pelbagai pencapaian membanggakan terutama dalam meningkatkan Pendapatan Bersih yang berkembang sebanyak 7.1 peratus kepada RM15.4 bilion.

Manakala Aset Bawah Pengurusan (AUM) setakat November 2017 berkembang 4.6 peratus kepada RM276.5 bilion berbanding RM264.3 bilion tempoh sama tahun lalu.

Dana unit amanah merangkumi RM232.6 bilion daripada jumlah tersebut manakala bakinya sebanyak RM43.9 bilion adalah daripada dana milik PNB sendiri.

Menurut Abdul Wahid, jumlah AUM dijangka mencecah RM279 bilion menjelang akhir tahun ini.-MalaysiaGazette