Husam Musa
Husam Musa

KUALA LUMPUR – Siapakah gerangan “Bin Daud” yang dimaksudkan oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Datuk Husam Musa?

Lelaki yang ber“Bin Daud” itu dikatakan menerima sejumlah wang dari sebuah syarikat kontraktor yang terlibat dengan projek pembinaan Lebuhraya Rakyat.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, lelaki yang ada pertalian persaudaraan dengan seorang anggota Exco Kerajaan Negeri itu didakwa menerima ‘nafkah politik’ berjumlah kira-kira RM10 juta dalam tempoh empat bulan dari Ogos hingga November tahun lalu.

“Pada Ogos hingga September 2016 dan Oktober hingga November tahun yang sama, seseorang namanya ber ”Bin Daud” telah menerima sejumlah wang dari syarikat kontraktor pembinaan Lebuhraya Rakyat atas tajuk ‘nafkah politik’.

“Ia sebahagian daripada jumlah RM10 juta yang dituntut sebagai ‘nafkah politik’ dari syarikat berkenaan, sebelum perjanjian ditamatkan melalui ‘settlement agreement’ bertarikh 14 Mac 2017,” dedah beliau melalui tulisannya dalam blognya Husammusa.com.

Menurut Husam, sebagai sebuah kerajaan Islam, bermaruahkah untuk menadah tangan menahan lukah bagi ‘nafkah politik’?

“Apa lagi, katanya, tumpuan terpenting sepatutnya ialah menyiapkan Lebuhraya Rakyat, bukan menahan lukah di talian sempit, di mana kewangan kerajaan negeri sudah sedia terhimpit,” katanya.

Menurut Husam, beliau juga akan mendedahkan terimaan lain sebagai ‘nafkah politik’ oleh kalangan pemimpin Pas Kelantan.

“Saya akan huraikannya (dedah) dalam kesempatan yang lain,” ujar beliau yang mengenali penama ber”Bin Daud” itu seorang yang baik.

Menurut Husam, beliau membuat pendedahan itu bukan hendak menyusahkan lelaki berkenaan, tetapi bertujuan supaya amalan rasuah dapat dihentikan, apatah lagi melibatkan wang untuk projek pembinaan Lebuhraya Rakyat.

“Semua pihak sepatutnya berusaha mempermudahkan kejayaan pembinaan lebuh raya itu, bukan menadah tangan dicelah kepayahan wang sedia ada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berharap, anggota Exco Kerajaan Negeri yang dimaksudkan itu dapat memberikan penjelasan lanjut berhubung dakwaannya itu.

“Nanti akan ada yang bertanya kenapa tidak dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)? Saya difahamkan ada pihak atas kesedaran tinggi mereka, telah membuat laporan itu bersama dokumen berkaitan.

“Harus diingat, saya mempunyai salinan dokumen berkenaan. Penjelasan Exco berkenaan harus mengambil kira kedudukan ini.

“Menteri Besar sepatutnya bertindak membanteras amalan ini, bukannya menghalakan muncung senapang kepada saya yang mempunyai tanggungjawab sebagai ADUN yang dipilih rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette