KUALA LUMPUR – Sebagai seorang anak seni jangan malu cari kawan untuk bercerita dan meluahkan perasaan, kata pelakon Johan As’ari.

Kata-katanya itu adalah bertitik tolak daripada beberapa isu tekanan perasaan di kalangan rakan artis yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Pelakon yang meningkat naik namanya menerusi drama Juvana itu tidak menggalakkan rakan-rakan artis yang lain mengasingkan diri sehingga mengakibatkan kesunyian yang hanya akan memberi kesan buruk kepada diri sendiri.

“Mungkinlah disebabkan itu ramai artis yang kesunyian, memilih untuk menyimpan.

“Saya pun sekarang kawan-kawan saya adalah dalam lingkungan saya, keluarga saya sahabat-sahabat saya adalah yang saya dah kenal sebelum saya berlakon, mujurlah saya sebelum berlakon saya ikut kursus tabligh. Jadi bagi Johan pendekatan terbaik adalah sentiasa mencari kawan.

“Saya akan pergi ke kawan-kawan saya, itu cara saya meluah. Alhamdulillah membuatkan saya tidak bosan. Kalau di rumah tidak ada apa-apa nak buat saya telefon kawan saya tanya khabar,” katanya kepada pemberita.

Johan juga tidak menafikan terlalu ramai rakan akan mengundang rasa tidak selamat justeru, katanya pentingnya untuk mengenali siapa orang sekeliling yang bersama-sama untuk dijadikan tempat meluahkan perasaan dan menghabiskan masa dengan cara yang bermanfaat.

“Kawan-kawan ramai pun mungkin rasa tidak selamat ke,” tambahnya.

Jika dilihat menerusi media sosial khususnya akaun Instagramnya, Johan seringkali memuatnaik videonya sedang mengaji, dan padanya ia bukanlah mahu menunjuk-nunjuk sebaliknya salah satu galakan kepada pengikutnya untuk sama-sama membaca al-Quran.

“Johan galakkan pengikut-pengikut Johan yang ramai di Instagram untuk, jom kita sama-sama buat video mengaji

“Johan memang gunakan instagram untuk letak perkara-perkara yang baik. Johan faham pengikut Johan ramai, Johan kena buat ikut kemampuan Johan sendiri, sebab apa Johan tidak perlu jadi orang lain,” tambahnya yang memaklumkan sedang menjalankan penggambaran drama 100 episod bertajuk ‘Jodoh-jodoh Anisa’ yang akan menggantikan Slot Tiara di Astro Prima ‘Syurga kedua’.

Mahu mendalami agama, Johan turut memaklumkan akan memasuki Pusat Pendidikan Al-Barakah, Ipoh yang dimiliki oleh pendakwah terkenal Datuk Mohd Kazim Elias selepas selesai penggambaran April atau Mei nanti. -MalaysiaGazette