KUALA LUMPUR – Selepas kelahiran anak pertama pada 2015, pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang menerima kehadiran anak kedua seberat 150 gram pada 14 Januari lalu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika mengumumkan berita gembira itu berkata, kelahiran anak panda tersebut pada 7.50 pagi iaitu 89 hari selepas tarikh persenyawaan pasangan panda gergasi pada 18 Oktober 2017, merupakan kejayaan Malaysia dalam Program Konservasi Panda Gergasi.

“Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang berjaya melahirkan anak panda gergasi secara semula jadi dalam tempoh dua tahun selepas kelahiran pertama.

“Kedua-dua ibu dan anak panda gergasi kini berada dalam keadaan sihat,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Konservasi Panda Gergasi di Zoo Negara, di sini.

Bagaimanapun jantina anak panda gergasi itu masih belum dikenal pasti kerana Liang Liang masih melindungi anaknya yang sedang dalam fasa menyusu.

Wan Junaidi berkata, fasiliti yang kondusif, penjagaan rapi serta perhatian yang diberikan oleh pasukan penyelidik dan pakar veterinar di pusat konservasi itu turut menjadi faktor menyumbang kelahiran anak panda berkenaan.

Beliau berkata, Liang Liang dan anaknya kini dikuarantin dan tidak akan dipamerkan kepada pengunjung sehingga suatu tempoh yang ditetapkan bagi memastikan tahap kesihatan kedua-dua mereka dalam keadaan terbaik.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, Malaysia akan memaklumkan kelahiran anak panda itu kepada kerajaan China dalam masa terdekat selain membincangkan beberapa perkara berkaitan perjanjian yang dimeterai menerusi Projek Kerjasama Konservasi Panda Gergasi.

Katanya, Malaysia berhasrat untuk memelihara anak panda itu namun perlu dibincangkan secara terperinci dengan kerajaan China termasuk mengambil kira faktor kewangan dan teknikal.

Pada 21 Mei 2014, Malaysia menerima sepasang panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang daripada kerajaan China sebagai meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Pasangan haiwan itu melahirkan anak panda pertama pada 18 Ogos 2015 dinamakan Nuan Nuan yang kemudiannya dihantar pulang ke China pada 14 November 2017 bagi memenuhi syarat perjanjian dua negara. – MalaysiaGazette