KOTA MARUDU – Kerajaan memperuntukkan RM3.1 bilion untuk 142 buah sekolah di Sabah menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah tersebut RM1.4 bilion diluluskan untuk projek baharu yang membabitkan 56 sekolah, manakala selebihnya bagi melaksanakan projek sambungan yang membabitkan 86 sekolah.

“Perdana Menteri juga beri peruntukan projek sambungan kepada 86 sekolah dengan jumlah RM1.7 bilion. Jadi keseluruhannya sebanyak RM3.1 bilion diperuntukkan kepada Sabah dalam RMK11,” katanya pada majlis perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

SMK Bandau ditubuhkan pada tahun 2000 namun menumpang bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Ongkilan sebelum menggunakan bangunan sendiri pada Mac 2014 yang dibina dengan kos RM34 juta.

Sementara itu, katanya, nisbah terkini guru yang berasal dari Sabah  mengajar di negeri ini sudah mencapai 87.4 peratus dan ia sudah menghampiri nisbah 90 peratus berbanding 10 peratus guru dari Semenanjung yang ditetapkan kerajaan.

“Ketika ini ada kira-kira 40,000 guru yang mengajar di sekolah menengah dan rendah di Sabah,” katanya.

“Bukan itu saja, kerajaan turut melantik Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu daripada orang Sabah iaitu Datuk Dr Amin Senin yang memulakan tugas pada Oktober lalu. Beliau adalah orang Sabah pertama menjadi Ketua Pengarah Pelajaran,” tambah beliau. – MalaysiaGazette