Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Ada pihak dipercayai tidak puas hati dengan kejayaan konsortium Malaysia yang berjaya membangunkan semula bangunan ikonik Stesen Janakuasa Battersea (BPS) telah mendorong mereka memutarelitkan isu tersebut.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pada asasnya nilai tanah terbiar tidak boleh dibandingkan dengan nilai projek hartanah yang dimajukan dan sewaan yang baik.

Menurutnya, rujukan harga projek BPS kepada 1,000 kali ganda lebih mahal berbanding harga asal berniat tidak baik.

Katanya, Fasa 1 kediaman sudah pun siap dengan keuntungan besar manakala bangunan utama komersial BPS membabitkan gedung beli-belah dan pejabat yang akan menempatkan Apple  telah menandatangani untuk menyewa ruang seluas 500,000 kaki persegi.

“PNB dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membeli bangunan itu selepas siap dengan penyewa dan hasil yang lumayan.

“Ada pihak lain yang berminat membeli bangunan ikonik itu daripada konsortium pemaju tetapi kami mahukannya untuk pelaburan,” katanya yang menjelaskan rancangan untuk membeli Fasa 2 BPS bernilai RM8.76 bilion (1.608 bilion pound).

KWSP dan PNB, dalam kenyataan bersama semalam, memaklumkan rancangan pembelian adalah berdasarkan keputusan pelaburan dan tidak ada campur tangan kerajaan.

BPS itu dibangunkan oleh Konsortium Malaysia terdiri daripada Sime Darby Bhd. (Sime Darby), SP Setia Bhd. (SP Setia) dan KWSP.

Abdul Wahid sekali lagi menegaskan keputusan itu sesungguhnya untuk tujuan pelaburan yang dilakukan oleh Lembaga Pengarah BPS dan kumpulan pengurusan, PNB dan KWSP

“Tidak ada kaitan atau arahan daripada Kementerian Kewangan. Kita di PNB dan EPF sentiasa memegang amanah pelabur dan pencarum yang merupakan rakyat Malaysia.

“Ia merupakan kawasan potensi masa depan di London. Kedutaan Amerika baru sahaja berpindah masuk di kejiranan Nine Elms.

“Perkhidmatan teksi air Thames juga sudah beroperasi. Jajaran tambahan tren Northern Line sedang dalam pembinaan. Stesen bawah tanah Battersea juga berada di zon satu,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Sarawak Report mendakwa pengambilalihan Fasa 2 BPS disebabkan oleh tekanan daripada Kerajaan Malaysia disebabkan kos projek melambung.

Merujuk kepada London Evening Standard, turut mendakwa cadangan penjualan itu selepas kos projek meningkat dua kali ganda berbanding ramalan awal kira-kira 750 juta pound.

“Unjuran pulangan keuntungan skim itu telah dipotong daripada 20 peratus hingga 8.2 peratus,” dakwa London Evening Standard. – MalaysiaGazette