Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menundukkan kepala untuk diimbas sebagai gimik perasmian pelancaran Soft Launch sempena Penganjuran Pameran Defence Service Asia dan NATSEC di MITEC, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 20 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dengan kes penderaan pembantu rumah warga Indonesia di negara ini sebaliknya berikrar akan mengambil tindakan tegas secara telus dan adil.

Sambil menyifatkan insiden penderaan pembantu rumah sebagai kes terpencil namun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi menegaskan, kerajaa tetap memandang serius isu tersebut dan akan menanganinya secara adil.

Jelas beliau, satu perjumpaan antara Duta Malaysia ke Indonesia dan wakil kerajaan Indonesia hari inibagi membincangkan beberapa perkara penting terutama membabitkan jalinan kerjasama termasuk isu penderaan pembantu rumah.

“Kes penderaan ini sebenarnya adalah kes-kes terpencil, bagaimanapun kita tetap memandang ianya secara serius dan segala tindakan di jamin akan di ambil secara adil dan telus. Kerajaan dan penguatkuasa tidak sesekali berkompromi dan mempertahankan pesalah.

“Kita tidak akan cover up untuk sesiapa dalam isu ini dan juga isu lain yang membabitkan sebarang penganiyaan warga asing. Kita tidak akan lepas tangan begitu sahaja. Saya telah bercakap dengan duta kita, Datuk Seri Zahrain Mohamed hari ini.

“Saya telah gariskan empat perkara penting yang akan dibincangkan dengan pihak berkuasa Indonesia termasuk isu pembantu rumah, jalinan kerjasama yang berterusan bagi kebaikan bersama kedua-dua belah pihak, isu pembantu rumah dan juga tentang MoU kita yang akan tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pra pelacaran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 serta Pameran Keselamatan Antarabangsa Asia (NATSEC) di sini hari ini.

Kelmarin, media Indonesia melaporkan, kerajaan negara itu sedang mengkaji ca­dangan menghentikan peng­hantaran pembantu rumah ke Malaysia ekoran kes seorang pembantu rumah warga republik itu meninggal dunia akibat didera majikannya baru-baru ini.

Pada 11 Februari lalu, seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didera majikannya di sebuah rumah di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang Adelina Lisao, 26, meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Tambah Ahmad Zahid, kerajaan tidak akan pernah menyembunyikan sebarang fakta atau melindungi mana-mana majikan yang melakukan penderaan terhadap pembantu rumah.

“Mengikut fakta, Malaysia sebenarnya mempunyai peratusan yang sangat rendah apabila membabitkan kes penderaan pembantu rumah warga Indonesia berbanding negara lain di luar sana.

“Prosedur Standard Operasi (SOP) keselamatan di antara pembantu rumah asing dan majikan dikaji semula dan diperkemaskan untuk mengelak kes sama berulang pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri menggesa semua pihak termasuk pembangkang dan parti politik di negara ini untuk mematuhi keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu persempadanan kawasan pilihan raya dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kata beliau, semua pihak perlu berlapang dada dengan keputusan itu kerana ianya dibuat berdasarkan sistem perundangan dan mengikut Perlembagaan.

“Kita harus mematuhi keputusan mahkamah dan tindakan susulan harus dilakukan SPR. Kami sebagai kerajaan akur dengan keputusan ini. Parti-parti politik terutamanya pembangkang juga perlu akur,” ujarnya.

Mahkamah Persekutuan semalam telah memutuskan cadangan SPR untuk melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.- MalaysiaGazette