Presiden Pertubuhan Profesional JKR, Zulkifli Ahmad bersama Pengarah Urusan Syarikat Vertex South, Azurawaty Amar menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi bekerjasama dalam bidang pembinaan insfrastruktur pada Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Trafik di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 06 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Penglibatan golongan wanita dalam menceburi bidang pembinaan mampu menjadikan kaum hawa sebagai kontraktor yang profesional dan kompeten setanding lelaki.

Ketua Pegawai Eksekutif, Vertex South Industries Sdn. Bhd., Azurawaty Amar berkata, wanita harus diketengahkan dalam apa juga bidang agar golongan itu tidak dipinggirkan untuk memimpin sesebuah organisasi seperti yang dimahukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengisytiharkan 2018 sebagai Tahun Memperkasakan Wanita (TMW18).

“Kami menyokong penuh mana-mana wanita yang berani menceburi bidang kerja sivil dan kejuruteraan awam kerana ia sentiasa seiring dengan teknologi-teknologi baru yang dapat membantu dalam pembangunan infrastruktur.

“Kami sentiasa komited untuk memberi peluang pekerjaan, meningkatkan taraf ekonomi wanita dan membantu lebih ramai usahawan jurutera dalam industri pembinaan,” katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian Seminar Pengurusan Trafik di Zon Pekerja – Pergerakan Mobiliti dan Keperluan Keselamatan di sini hari ini.

Majlis itu disempurnkan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang mewakili Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof.

Menurut Azurawaty, dalam usaha memastikan usahawan jurutera wanita sepertinya berdaya saing, syarikatnya dengan inisitif sendiri mencipta teknologi baharu dikenali Smartex yang digunakan untuk melakukan kerja-kerja penambahbaikan jalan.

Katanya, teknik Smartex membolehkan bahan asal membina jalan yang ingin dinaiktaraf boleh digunakan semula.

Azurawaty Amar

“Smartex melibatkan kerja memecah dan menghancurkan lapisan turapan asal diikuti dengan menggaul bahan penstabil sebelum dihampar semula dalam satu proses.

“Permukaan lapisan roadbase yang baru itu kemudian diturap dengan asphalt.

Teknologi terkini dalam infrastruktur perlu diperkenalkan dan digunapakai untuk pembinaan jalan kerana dapat mengurangkan kos pembinaan antara 10 hingga 20 peratus dan meningkatkan kekuatan struktur pavemen,” ujarnya.

Tambah beliau, teknologi yang diguna mampu mengurangkan kos baik pulih jalan, sekali gus menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam menyelenggara jalan-jalan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna.

Dalam pada itu beliau berkata, syarikatnya turut terlibat dalam pembekalan, pembuatan dan pengedar bahan-bahan binaan bangunan dan jalan raya seperti Industrial Building System (IBS), Smartex dan produk premix sejuk (cold premix).

Selain itu katanya, Vertex turut terlibat dalam bidang pembangunan hartanah termasuk menyediakan sokongan infrastruktur dan servis sokongan industri kepada pelanggan.

Pada majlis itu Vertex turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Profesional JKR Malaysia (ProJKRM) dalam penganjuran seminar tersebut.

Seminar yang berlangsung dua hari bermula hari ini dihadiri seramai 400 usahawan jurutera dari seluruh negara. – MalaysiaGazette