KUALA LUMPUR- Syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh, AirAsia X Bhd. (AAX) telah menubuhkan sebuah anak syarikat bagi memudahkan urusan pemajakan pesawat, AAX Aviation Capital Ltd. (AAC).

Dalam kenyataannya di Bursa Malaysia hari ini, AAX berkata, anak syarikat baharunya itu ditubuhkan sebagai sebuah syarikat sendirian berhad di bawah Akta Syarikat-Syarikat Labuan 1990.

“Matlamat penubuhan entiti ini adalah untuk memudahkan pajakan pesawat oleh Kumpulan AAX di dalam usaha untuk mematuhi Garis Panduan dalam Penubuhan dan Operasi Pajakan Perniagaan Labuan yang diterbitkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) pada 29 Disember 2017,” kata AAX.

Tambahnya, AAC mempunyai saham modal berbayar sebanyak AS$1,000 meliputi 1,000 saham berharga AS$1 dan akan ditingkatkan mengikut keperluan operasi pada masa akan datang.

Buat masa ini, pengarah-pengarah AAC adalah Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail dan Ketua Pegawai Kewangan Wong Mee Yen.

Dalam kenyataan yang sama, AAX berkata, AAC pula telah menubuhkan AAX Leasing One Ltd (ALO) bagi memudahcara pajakan pesawat.

“Penubuhan AAC dan ALO dijangka tidak mempunyai kesan segera terhadap modal saham berbayar dan terbitan mahupun pemegang saham utama AAX,” katanya.-MalaysiaGazette