Hussein atau Ayah Sin (duduk, kanan) menerima kunjungan pimpinan Perkasa diketuai Dr. Ibrahim, Ruhanie (kiri), Tuan Syed Osman dan Ruslan (belakang, kanan) kediamannya di Kampung Lemal, Pasir Mas

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali bersama kepimpinan tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menziarahi Tan Sri Hussein Ahmad di kediaman tokoh veteran UMNO itu di Kampung Lemal, Pasir Mas, Kelantan hari ini.

Hussein, 84, antara pemimpin paling lama memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO Malaysia iaitu 14 tahun dari 1982 hingga 1999 berada dalam keadaan uzur berikutan menghidap parkinson dan pernah diserang strok kecil.

Menurut Dr. Ibrahim, beliau mesra memanggil pemimpin yang pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan dari tahun 1978 hingga 1982 itu dengan panggilan Ayah Sin atau Abang Sin.

Katanya, beliau bersama Naib Presiden Perkasa, Datuk Ruhanie Ahmad dan Tuan Syed Osman Syed Mansor serta Ketua Penerangan Perkasa Malaysia, Datuk Ruslan Kassim gembira kerana Hussein yang juga lebih dikenali sebagai Hussein Serama bersemangat bercerita hal politik dan sejarah parti.

“Ayah Sin dengan suara yang tinggi dan penuh semangat berkata di hadapan tetamu (rombongan Perkasa) bahawa dia ni orang kuat dan setia pada Tun M (Tun Dr. Mahathir Mohamad).

“Tapi dia tidak akan tinggalkan UMNO (sebagaimana dilakukan Dr. Mahathir) kerana UMNO adalah darah daging orang Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Menurut Dr. Ibrahim, di akhir ziarah itu, Hussein memberi kata-kata semangat kepada Perkasa dan meminta pertubuhan itu terus berjuang membela orang Melayu.

“Ayah Sin kata kepada kami, kalau tidak (Perkasa) siapa lagi nak bela Melayu,” katanya yang jelas dapat melihat semangat nasionalisme Melayu begitu kuat dalam diri pemimpin veteran itu. – MalaysiaGazette