Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar (tengah) menunjukkan laporan polis mengenai kerjasama pembangkang dengan pihak asing dan terhadap majalah The Economist yang memfitnah Perdana Menteri di luar pekarangan Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) hari ini menyerahkan bukti kepada pihak polis tentang wujudnya kerjasama parti-parti politik pembangkang dengan pihak asing untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak sah.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, maklumat yang diperolehinya mengesahkan wujudnya kerjasama itu dan beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat komplot jahat berkenaan.

“Apa yang kita pertikaikan di sini ialah bentuk nasihat untuk menumbangkan kerajaan sedia ada melalui jalan yang salah. Kita difahamkan modus operandi mereka menggunakan media asing untuk memuat naik cerita fitnah.

“Mereka tahu kalau media asing (siarkan berita palsu), amat sukar pihak berkuasa di Malaysia mengambil tindakan terhadap mereka seperti laporan polis fitnah.

“Selepas media asing mengeluarkan fitnah terhadap kerajaan dan kepimpinan negara, ia akan disambut oleh pihak-pihak tertentu di Malaysia dengan memuat naik tuduhan-tuduhan tersebut dalam laman sosial Facebook dan Whatsapp,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Balai Polis Sri Petaling, di sini, hari ini.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar (tengah) bercakap kepada pemberita mengenai kerjasama pembangkang dengan pihak asing dan terhadap majalah The Economist yang memfitnah Perdana Menteri di luar pekarangan Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ahad yang mendakwa ada parti politik pembangkang meminta bantuan pihak luar untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Abdul Hadi juga mendakwa ada pemimpin pembangkang yang menjemput negara dan kuasa asing untuk campur tangan dalam urusan politik di negara ini.

Zulkarnain juga meminta pihak berkuasa mengenal pasti parti politik dan pihak asing yang terbabit dengan komplot jahat berkenaan.

Sementara itu, Zulkarnain membuat laporan polis kedua terhadap majalah antarabangsa The Economist menyiarkan laporan fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ‘mencuri’ undi bagi memenang BN pada PRU14.

“Kami sebenarnya telah menghantar surat pada 11 Mac 2018 kepada editor majalah berkenaan. Mereka keluar kenyataan pada 10 Mac 2018. Kami cabar editor The Economist tunjukkan bukti tuduhan kamu kononnya Datuk Seri Najib mencuri undi.

“Mana bukti kamu dalam bentuk dokumentasi yang boleh menyokong tuduhan kamu, sila bawa ke mahkamah. Sehingga kini mereka masih gagal kemukakan bukti,” katanya. – MalaysiaGazette